TANJONG MALIM: Seramai 805 mahasiswa kelahiran Perak dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dikumpulkan pada program Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030 yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis.
Pengerusi Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030, Nazirul Jamaluddin berkata, program yang julung kalinya dianjurkan itu bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa dari Perak mengenai Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Antara objektif kita mengadakan program ini adalah untuk membawa inspirasi daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam memastikan pelan Perak Sejahtera 2030 sampai kepada semua lapisan termasuk mahasiswa.
“Kita juga melihat ada keperluan untuk memulakan Pelan Perak Sejahtera daripada mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Perak di mana mereka akan menjadi penyambung dan penyebar mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MG Perak ketika ditemui pada Karnival Sukan bersempena Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, pada Sabtu.
Nazirul berkata, karnival berkenana bukan sahaja mengumpulkan himpunan mahasiswa anak-anak Perak tetapi juga memberi peluang kepada mereka menyuarakan permasalahan yang dihadapi.
“Sepanjang program ini kita ingin melihat serta mendengar apa permasalahan anak-anak Perak yang menuntut di IPT seluruh negara dan bagaimana kita dari sudut kerajaan negeri dapat membantu mereka,” katanya.
Ditanya sama ada karnival berkenaan akan diteruskan setiap tahun sehingga 2030, Nazirul berkata, besar harapan beliau sekiranya Kerajaan Negeri Perak sudi meneruskan program yang memberi manfaat kepada golongan pelapis negeri.
“Sepanjang tiga hari program ini kita berjaya menyebarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan lebih mendalam dalam kalangan peserta dan ke semua mereka menunjukkan minat dengan perancangan kerajaan negeri.
“Yang Berhormat Exco, Khairudin Abu Hanipah juga memberi jaminan dalam ucapan perasmian beliau bahawa karnival ini akan diteruskan,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mahasiswa Perak perlu kreatif jayakan Perak Sejahtera 2030