Kartel baja: SPRM tahan dua bekas pengurus besar

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas pengurus besar sebuah pertubuhan pertanian, bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta, semalam.

Menurut sumber SPRM kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an hingga 60-an itu ditahan sekitar 8.30 malam, ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakamkan keterangan.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan kartel perolehan baja membabitkan sebuah pertubuhan badan awam yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa,” menurut sumber itu.

Menurut sumber SPRM itu, Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya Syahrul Sazly Md Sani, membenarkan kedua-dua suspek direman selama tiga dan empat hari iaitu sehingga 5 serta 6 Nov depan, selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan dan kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Pada 30 Okt, media melaporkan SPRM menahan seorang eksekutif pemasaran sebuah syarikat, berhubung dakwaan kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian, yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Susulan penahanan itu, seramai dua lagi individu termasuk pengerusi syarikat yang merupakan warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI