IPOH – Sentuhan karya seni yang dihasilkan secara tradisi menggunakan tangan mempunyai nilai dan jiwa berbanding penggunaan kecerdasan buatan (AI), kata Seniman Diraja, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.
Kartunis tersohor yang menghasilkan karya ikonik Kampung Boy (1979) itu berkata, meskipun kandungan lukisan yang dihasilkan oleh AI dilihat amat menarik namun ia masih kekurangan kehalusan seni serta jiwa.
“Dari segi pandangan seorang pelukis orang lamalah di mana saya melukis komik sejak 60an hasil kerja sana amat simple dan kadang-kadang nampak kosong meskipun mempunyai jalan cerit.
“Berbanding lukisan yang dijana melalui AI yang menarik dan lebih terperinci tetapi kalau terlalu banyak perincian ia akan jemu,” katanya selepas hadir ke Program Khidmat Masyarakat Semaian Kasih Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Perak di Maahad Darus Salam, Rizab Kampung Melayu Tambun di sini, pada Jumaat.
Menurutnya lagi, meskipun AI menjadi pilihan generasi hari ini dia menyeru agar generasi muda menumpukan kebolehan menggunakan tangan dalam menghasilkan lukisan yang mempunyai jiwa dan jalan cerita.
“Saya pernah pergi ke India dalam forum mereka kagum sebab saya melukis menggunakan tangan. Dia orang tidak sebaliknya main main picit (menggunakan telefon) sahaja.
“Jadi saya harap banyaklah kita tumpukan kepada kebolehan tangan kita ini dan ada setengah orang dia tidak boleh melukis tapi dia boleh membuat animasi sebab dia pandai cara animasi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa setiap pelukis yang berbeza eranya mempunyai keistimewaan tersendiri termasuklah penggunaan AI dalam menjana hasil seni.
“Zaman sekarang ini saya kalau melukis jari-jari saya ini petang nanti akan hitam dengan dakwat. Orang sekarang pula pakai iPad.
“Dia nak lukis besar mana pun skrin dia besar itu boleh dijadikan lukisan besar untuk dinding. Jadi itulah bezanya teknologi baru,” katanya. -MG Perak


