IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas sejumlah 6,297.45 liter minuman keras melibatkan cukai berjumlah RM289,507.54 dalam tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh.
Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan dalam serbuan yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu di sebuah premis di Kubang Semang, Pulau Pinang, 11 November lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam serbuan sekitar jam 7.30 malam itu menemui 1,342.48 liter minuman keras pelbagai jenama (buatan tempatan) dianggarkan bernilai RM38,343.32 melibatkan cukai berjumlah RM96,673.94.
“Kita turut menjumpai sejumlah 24.75 liter minuman keras pelbagai jenama (import) bernilai RM3,366.50 dengan anggaran duti bernilai RM3,564.05 disimpan di premis berkenaan.
“Modus operandi premis tersebut adalah menyimpan barang-barang berduti di mana minuman keras yang dikilangkan di Malaysia telah dilabelkan sebagai ‘cooking wine’,“ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam serbuan berasingan, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan lori satu tan di Taman Perindustrian KIP, Kepong, Kuala Lumpur pada 28 November lalu.
Katanya, barang tak berkastam itu disimpan dalam lori berkenaan untuk mengaburi penguatkuasa.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut telah menemui sejumlah 3,606.24 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM24,643.68 dengan cukai berjumlah RM107,216.14.
“Pemeriksaan lanjut ke atas minuman keras pelbagai jenama itu didapati tiada sebarang setem cukai dilekatkan pada bahagian sisi tepi minuman keras tersebut,“ jelasnya.
Sementara itu, pada 13 Disember lalu, sekitar jam 12 tengah hari, sepasukan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM, Stesen Pengkalan Hulu telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis di Bandar Baru Ipoh, di sini.
“Hasil pemeriksaan menemui 1,323.98 liter minuman keras pelbagai jenama pengilangan tempatan dianggarkan bernilai RM39,719.40 dengan anggaran duti cukai yang terlibat berjumlah RM82,053.41.
“Premis itu melakukan kesalahan dengan menyimpan barang-barang berduti dengan cubaan melarikan apa-apa duti eksais secara frod dan seorang individu lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan,“ ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – MG Perak
Artikel Berkaitan: