Kastam perak rampas dadah, vape seludup bernilai lebih RM10 juta

IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan dadah dan peranti rokok elektronik (vape) serta barangan lain dalam empat operasi berasingan sejak 27 Mei lalu.

Pengarah Kastam Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, turut dirampas jubin, kereta dan karkas babi yang cuba diseludup dengan anggaran nilai berjumlah RM5.5 juta serta duti bernilai RM5.3 juta .

Beliau berkata, bagi kes penyeludupan dadah, sebanyak lapan bungkusan plastik mengandungi tumbuhan kering disyaki dadah jenis bunga ganja ditemui dalam pemeriksaan ke atas sebuah bungkusan di Petaling Jaya, Selangor pada 5 Jun lalu.

“Anggaran berat kasar tumbuhan kering tersebut sebanyak 9,858 gram dengan nilai pasaran bagi dadah tersebut sekitar RM966,084.

“Bungkusan dadah yang menggunakan khidmat syarikat penghantaran ini dipercayai untuk dihantar ke United Kingdom dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi kes kedua pula melibatkan penemuan vape beserta cecair melalui pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 4 Jun lalu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati sejumlah 55,320 unit vape pelbagai jenama ditemui bersama 706 keping jubin marmar yang diikrar sebagai plastik.

“Nilai bagi vape melibatkan RM896,800 dengan anggaran jumlah duti atau cukai sebanyak RM530,670 manakala jubin marmar pula bernilai RM70,600 dengan anggaran cukai sebanyak RM45,890,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun.

Sementara itu, pada 27 Mei lalu, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Taiping melakukan pemeriksaan sebuah kontena yang diikrar sebagai komponen dan kotak peralatan di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Klang, Selangor.

Mohd Nadzri berkata, hasil pemeriksaan menemukan sebuah kereta berjenama Brabham Model BT62 tanpa permit import di dalam kontena tersebut dan ia tidak sama seperti barangan yang diikrarkan.

“Nilai kenderaan ini dianggarkan RM2.2 juta dan duti pula sebanyak RM4.2 juta. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Bagi kes keempat pula melibatkan karkas babi disyaki barang larangan kastam dalam dua buah lori sejuk beku yang ditahan di Pengkalan Hulu pada 29 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan juga mendapati barangan tersebut dibawa masuk dari negara jiran tanpa sebarang dokumen dan tidak dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis),” katanya.

Beliau berkata, nilai karkas babi tersebut dianggarkan RM1.03 juta dengan duti sebanyak RM518,100 manakala dua buah lori sejuk beku bernilai RM400,000 juga turut dirampas.

Susulan itu dua lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967). -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI