IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan dengan nilai RM797,832.84 termasuk tongkeng ayam dalam empat operasi berasingan sehingga 15 Ogos lalu.
Pengarah Kastam Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, sepasukan anggota Cawangan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang disyaki membawa barang larangan Kastam di Pelabuhan Klang, Selangor pada 12 Ogos lalu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat 14,004 paket tongkeng ayam sejuk beku dengan berat 29 tan didapati tidak mempunyai sebarang permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Hasil pemeriksaan menemukan 14,004 paket tongkeng ayam sejuk beku yang diimport dari China bernilai RM275,500 dengan jumlah cukai RM13,775.
“Namun hasil semakan dengan MAQIS kita mendapati syarikat pembekal bukan daripada mana-mana syarikat yang disenaraikan sebagai syarikat sah oleh MAQIS. Pada masa sama, status halal pada produk ini juga meragukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media JKDM Perak di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kastam Perak di Taman Meru 2B, dekat sini, pada Selasa.
Mohd Nadzri berkata, ia merupakan antara sebahagian daripada 26 kes ‘Operasi Mecan Legit II’ yang dijalankan pihaknya dengan nilai keseluruhan duti cukai dianggarkan mencecah RM2.24 juta.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, pihaknya turut merampas pelbagai barangan lain termasuk rokok, minuman keras dan beras dalam beberapa siri serbuan berasingan.
Ujar Mohd Nadzri, antara yang direkodkan adalah rampasan 6.6 tan beras dari Bangladesh yang dipercayai diimport tanpa permit sah oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di sebuah gudang di Shah Alam, Selangor, pada 14 Ogos lalu.
“Beras ini dianggarkan bernilai RM19,280, dengan anggaran harga bagi setiap kilogram antara RM2.80 hingga RM3. Dan hasil semakan mendapati nilai cukai adalah sebanyak RM10,411.20. Modus operandi adalah menyeludup barang larangan Kastam melalui pintu sempadan,” katanya.
Justeru beliau berkata kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan sama, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama.
Mengulas lanjut Mohd Nadzri memberitahu, Kastam Perak turut merampas rokok putih dan kretek pelbagai jenama dengan nilai termasuk duti RM162,240.10 dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Kampung Keramat, Bagan Serai, pada 6 Ogos lalu.
Beliau berkata, modus operandi dalam kes berkenaan adalah menyimpan rokok di rumah berkenaan sebelum ia dijual ke pasaran tempatan.
Mohd Nadzri berkata, sementara itu pihaknya juga berjaya merampas minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai termasuk cukai, RM316,626 di Setiawan, pada 13 Ogos.
Kata beliau, rampasan itu dilakukan susulan pemeriksaan ke atas sebuah lori ‘bonded’ yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun.
“Pemeriksaan mendapati minuman keras yang disita tersebut merupakan barang larangan di bawah Perintah Duti Kastam Larangan Mengenai Import 2023. Pemandu yang juga pemilik lori terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 135(1)(v)(aa). – MG Perak
Artikel Berkaitan: