IPOH – Polis Perak memberi jaminan tiada sebarang ancaman keselamatan sepanjang perayaan Thaipusam di Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, di sini pada hari ini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, seramai 627 anggota bertugas ditempatkan di sekitar bandar raya Ipoh sepanjang perayaan itu berlangsung.
“Kita dimaklumkan hari ini bahawa seramai 350,000 pengunjung hadir bermula semalam sehingga esok serta kita akan memastikan mereka mematuhi peraturan undang-undang dan segala pergerakan berjalan lancar.
“Setakat ini, tiada insiden berlaku dan semua berada dalam keadaan baik. Saya memberi jaminan kepada semua pengunjung bahawa mereka boleh membuat lawatan dan pergerakan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program High Profile Policing Polis Perak sempena sambutan Hari Thaipusam Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Azizi berkata, lazimnya lokasi tumpuan orang ramai sudah pasti ada beberapa pihak yang cuba mengambil kesempatan bagi menggugat serta melanggar undang-undang dan peraturan.
“Justeru, kita akan memastikan kelancaran aliran trafik serta menjalankan beberapa operasi melibatkan pencegahan jenayah sama ada jenayah jalanan ataupun jenayah yang berada di luar sepanjang upacara Thaipusam berlangsung,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: