KDN akan tambah baik proses temuduga pemohon warganegara naturalisasi

IPOH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan penambahbaikan terhadap beberapa aspek dari segi proses temuduga bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan melalui naturalisasi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia termasuk usaha menambah baik modul ujian penguasaan Bahasa Melayu agar dapat dijalankan secara lebih santai dan tidak terlalu berstruktur.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti segala aspek yang boleh dilaksana bagi memudahkan permohonan taraf kewarganegaraan mengikut Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mengimpikan dan berharap proses temuduga itu dapat diadakan dalam suasana kondusif yang akan membantu pemohon untuk menghilangkan rasa gemuruh.

“Melalui usaha ini, kelak kita akan melatih pegawai-pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar dapat menjalankan temuduga dengan lebih baik.

“Dan mungkin, kaedah menemuduga pemohon dapat dijalankan dalam bentuk seperti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) atau melalui kaedah dengan gunakan bahan visual pembentangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, dekat sini, pada Isnin.

Kementerian Dalam Negeri KDN pemohon warganegara naturalisasi Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Kementerian Dalam Negeri KDN pemohon warganegara naturalisasi Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika sesi sidang media sewaktu hadir ke Rumah Seri Kenangan, Ulu Kinta, hari ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 04 MAC 2024.

Terdahulu, Saifuddin mengadakan lawatan kerja ke Kompleks KDN Perak di Meru Raya, dekat sini, bagi meninjau pelaksanaan Program Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu Kewarganegaraan

Ia dihadiri seramai 56 pemohon taraf kewarganegaraan yang berusia antara 70 hingga 100 tahun.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, terdapat seramai 12,000 permohonan kewarganegaraan daripada 49,000 keseluruhan sedang diproses oleh JPN ketika ini berdasarkan peruntukan Perkara 19 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Proses temuduga bagi permohonan warganegara Malaysia melalui naturalisasi berada pada peruntukan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang menyebutkan antaranya aspek penguasaan Bahasa Melayu.

“Disebabkan angka (permohonan) itu, kita tekad untuk memudahkannya, selain membuat keputusan tanpa berlengah serta tidak mengetepikan semua aspek perundangan.” ujarnya lagi.

Pada Oktober tahun lalu, media melaporkan Saifuddin berkata, ujian penguasaan Bahasa Melayu yang menjadi syarat dikenal pasti sebagai antara punca kebanyakan pemohon warga emas gagal bagi permohonan taraf warganegara Malaysia.

Saifuddin berkata kebanyakan mereka yang berusia terlalu fasih bahasa asing, yang mana ia sekali gus dianggap sebagai antara kekangan dihadapi KDN. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Komen nakal, cadangan tahanan di rumah tidak libatkan Najib

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI