KUALA LUMPUR – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal sederhana pada sekitar 4.3 peratus pada 2026, berbanding anggaran pertumbuhan 4.6 peratus pada 2025 dan pengembangan 5.1 peratus pada 2024, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Bank pelaburan itu berkata asas pertumbuhan domestik Malaysia kekal positif, disokong oleh pasaran buruh yang sihat, peningkatan gaji dan guna tenaga, serta inflasi umum yang masih sederhana.
“Aktiviti ekonomi domestik juga akan terus disokong oleh kemajuan projek infrastruktur berbilang tahun serta peningkatan ketibaan pelancong (dan perbelanjaan), susulan pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Namun, sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, prospek pertumbuhan Malaysia akan terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan luaran, termasuk perubahan peraturan perdagangan oleh rakan dagang utama, potensi gangguan rantaian bekalan global, serta kemungkinan peningkatan semula ketegangan perdagangan dan geopolitik,” kata MBSB IB dalam nota penyelidikannya.
Sehubungan itu, ia berkata prospek perdagangan Malaysia masih berisiko susulan kesan tarif Amerika Syarikat yang lebih tinggi terhadap permintaan akhir, selain risiko kelemahan permintaan luaran daripada pasaran utama.
Bagaimanapun, ekonomi domestik dijangka mengukuh dalam jangka pendek, disokong oleh peningkatan Indeks Pelopor (IP) sebanyak 3.6 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2025, menandakan dua bulan berturut-turut pengembangan, katanya.
Menurut bank pelaburan itu, peningkatan tersebut didorong oleh penambahbaikan dalam tiga komponen utama, diterajui oleh pengembangan dua digit dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan (51.2 peratus tahun ke tahun) import sebenar logam berharga asas lain dan logam bukan ferus lain (39.2 peratus tahun ke tahun), serta import sebenar semikonduktor (32.4 peratus tahun ke tahun).
Dari segi bulanan, MBSB IB berkata IP melonjak semula sebanyak 2.6 peratus bulan ke bulan selepas mencatatkan penyusutan selama dua bulan berturut-turut, didorong oleh prestasi lebih kukuh import sebenar logam berharga asas lain dan logam bukan ferus (1.8 peratus bulan ke bulan), serta pemulihan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan (0.5 peratus bulan ke bulan). —BERNAMA


