KDNK Perak rekod RM86.2 bilion, sektor pembuatan penyumbang utama

IPOH – Perak merekodkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM86.2 billion dengan pertumbuhan 4.4 peratus pada tahun 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri Perak 2024, ia menunjukkan peningkatan berbanding 2.7 peratus pada tahun sebelumnya dengan menandakan trajektori pemulihan yang kukuh.

Menurutnya, angka tersebut membuktikan bahawa Perak berada di landasan yang betul dalam memacu pembangunan yang inklusif dan mampan.

“Pertumbuhan ini banyak digerakkan oleh sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

“Sektor pembuatan sahaja bertumbuh 5.1 peratus pada 2024, menyumbang 19.4 peratus kepada KDNK negeri, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai nadi utama ekonomi Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Sambutan Ulang Tahun ke-57 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee; Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai; dan Pengerusi FMM Perak, Chua Kay Lin.

KDNK Perak rekod RM86.2 Bilion, sektor pembuatan penyumbang utama
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-57 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 SEPTEMBER 2025.

Katanya, pencapaian itu membuktikan bahawa sektor pembuatan menjadi pemacu utama kepada pelaburan, penciptaan pekerjaan, serta peningkatan daya saing negeri.

“Malah, eksport Perak kini meliputi produk elektrik dan elektronik, komponen automotif, mineral, minyak sawit serta produk makanan berproses, yang mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam perdagangan antarabangsa.

“Semua kejayaan ini lahir daripada sinergi antara kerajaan negeri, sektor industri dan sokongan rakyat.

“Dalam hal ini, saya menzahirkan penghargaan khusus kepada FMM yang sentiasa bersama-sama kerajaan negeri bukan sahaja memberikan pandangan yang bernas mengenai perkembangan industri dan pembuatan.

“Pada masa sama turut menjadi rakan strategik dalam memperteguhkan dasar serta memperkukuh daya saing ekonomi negeri,” ujarnya,

Beliau yakin, dengan iltizam bersama antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, pihak industri melalui FMM, dan rakyat, Perak mampu menjadi model negeri industri moden, lestari, dan berdaya saing, bukan sahaja untuk Malaysia, malah sebagai rujukan rantau Asia Tenggara. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak rekod nilai KDNK RM82.6 bilion 2023 – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI