Keamanan ASEAN tarik pelaburan global – PM

MELAKA – Perdana Menteri menyifatkan ASEAN sebagai antara rantau paling aman di dunia dengan ekonominya yang dinamik dan berpotensi besar untuk menarik pelaburan global.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan ini terhasil kerana kerjasama sebagai satu pasukan berasaskan kepercayaan antara pemimpin sehingga berjaya mengekalkan kedudukan strategik di tengah-tengah geopolitik.

“Selama enam dekad, ASEAN membuktikan bahawa kekuatan kita terletak pada kepelbagaian dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap dialog, kerjasama dan konsensus.

“Inilah asas yang mengekalkan keamanan dan kestabilan meskipun dunia semakin kompleks,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan disebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Perdana Menteri berkata, pada minggu ini sahaja, beliau sempat berhubung dengan hampir semua pemimpin ASEAN termasuklah Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, berhubung isu sempadan Thailand-Kemboja.

“Saya juga menerima panggilan daripada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, yang memberi sokongan penuh kepada usaha kita menjamin keamanan rantau ini.

“Petang tadi pula, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menghubungi saya untuk berbincang beberapa isu penting dan ini menggambarkan hubungan saling percaya antara pemimpin ASEAN yang unik dan tiada tandingan di rantau lain,” katanya.

Anwar berkata, hubungan erat yang terjalin ini membuktikan ASEAN memiliki keunikan tersendiri dan perlu terus mempertahankan kesentralan sebagai prinsip geopolitik utama bagi memastikan rantau ini kekal menjadi pusat rujukan.

Seramai 300 delegasi dari negara anggota ASEAN berkampung di Melaka bagi menghadiri mesyuarat berkenaan, bermula semalam.

Mesyuarat yang dipengerusi Saifuddin itu adalah platform rasmi ASEAN yang menghimpunkan menteri-menteri negara anggota bagi membincangkan usaha sama memerangi jenayah rentas sempadan di rantau ini.

Antara fokus utama ialah Jenayah pemerdagangan orang (TIP), penyeludupan migran, keganasan dan ekstremisme, keganasan siber, pengedaran dadah, jenayah kewangan dan pemalsuan serta penyeludupan senjata api. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI