Keamanan ibarat cahaya yang perlu dipelihara – Saarani

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengingatkan keamanan bukan sesuatu yang kekal secara automatik sebaliknya ia diibaratkan seperti api yang memberi cahaya.

Menurut beliau, sekiranya tidak dipelihara dengan cermat, ia boleh padam atau menjadi marak dan memusnahkan.

“Hari ini, kita melihat betapa mudahnya sentimen sempit dinyalakan. Betapa pantasnya naratif perpecahan disebarkan. Sentimen kaum dan agama acapkali ditiup kerana ia paling mudah membakar emosi dan meleburkan empati.

“Tetapi ingatlah bahawa negeri dan negara ini tidak dibina atas api kebencian. Sebaliknya, kita menjadikan api sebagai cahaya yang menerangi perjalanan meskipun hidup dalam kepelbagaian,” katanya.

Persembahan kebudayaan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 14 FEBRUARI 2026.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Sabtu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis berkenaan diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahhim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; barisan Menteri dan Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Tambah Saarani, keamanan juga merupakan cahaya yang sentiasa menyatukan tekad rakyat tatkala berdepan ujian dan dugaan selain berperanan menerangi perjalanan dalam membina kemajuan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto ABDULLAH YUSOF 14 FEBRUARI 2026.

“Dan inilah roh yang menggerakkan gagasan Malaysia Madani, dan inilah juga semangat yang memacu pelan Perak Sejahtera 2030.

“Kita mahu pertumbuhan yang inklusif, peluang yang adil, dan pembangunan yang memastikan setiap kaum, setiap komuniti, bergerak bersama dalam arus kemajuan,” katanya.

Mengulas mengenai Sambutan Tahun Baharu Cina, Saarani berkata, masyarakat Tionghua menyambut kedatangan Tahun Kuda Api di mana kuda melambangkan tenaga yang dinamik, keberanian untuk bergerak ke hadapan dan ketangkasan menghadapi cabaran.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 14 FEBRUARI 2026.

Katanya lagi, unsur api pula melambangkan semangat yang membara di mana mampu menerangi, menggerakkan dan mempercepatkan perubahan.

“Maka Tahun Kuda Api mengajar kita satu hikmah yang besar bahawa kemajuan memerlukan keberanian. Tetapi keberanian mesti dipandu dengan kebijaksanaan. Begitu juga perubahan yang menuntut kepantasan, tetapi kepantasan mesti disertai dengan kematangan.

“Maka, mengambil semangat Tahun Kuda Api, marilah kita sama-sama mempercepatkan langkah tanpa meninggalkan sesiapa di sepanjang haluan. Marilah kita menguatkan semangat tanpa membakar jambatan perpaduan. Marilah kita sama-sama menggerakkan perubahan tanpa sesekali mengorbankan keharmonian,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI