SERI ISKANDAR – Semua pihak diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan ekoran insiden kebakaran dipercayai khianat terhadap tiga kereta di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, pada Rabu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bukan sahaja kepada kenyataan berunsurkan 3R, malah apa-apa juga kenyataan hendaklah diperhalusi terlebih dahulu demi menjaga keharmonian masyarakat.
“Bukan sahaja kepada ahli politik, malah kepada semua iaitu sebelum hendak bercakap tentang sesuatu perkara, kita hendaklah semak dahulu bagi mengelakkan mengguris perasaan orang lain.
“Kadang-kadang kita rasa kenyataan itu sekadar gurauan, namun pada masa sama orang lain tidak dapat menerimanya.
“Oleh itu, (dalam soal ini) ia adalah antara ramuan komunikasi yang perlu dijaga dengan baik antara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pemberita pada sidang media Majlis Pembukaan Rasmi Geological Rock Garden (GRG) Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Naib Canselor UTP, Datuk Dr Mohamaed Ibrahim Abdul Mutalib.
Dalam pada itu, Saarani bersetuju sekiranya ada kenyataan yang agak sensitif hendak diutarakan, ia hendaklah dibincangkan di peringkat dalaman terlebih dahulu.
Pada Rabu, Koo Ham dilaporkan mengesyaki perbuatan khianat yang menyebabkan tiga kereta miliknya terbakar adalah disebabkan kenyataannya sebelum ini yang melibatkan isu Agama Islam.
Dalam kejadian jam 3 pagi Rabu, kediaman wakil rakyat DAP itu terbakar berpunca daripada perbuatan khianat hasil penemuan botol yang digunakan sebagai bom petrol atau ‘molotov cocktail ‘ di lokasi kejadian.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata keputusan kerajaan Persekutuan menjenamakan semula projek Kerian Integrated Industrial Park, sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park tidak akan mengubah matlamat utama pembangunannya.
“Fungsinya tetap sama iaitu sebagai kawasan perindustrian berimpak tinggi. Malah ketika ini pun, di seluruh dunia sedang menumpukan kepada teknologi hijau,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kebakaran kediaman Koo Ham: Polis ambil keterangan tujuh individu