KUALA LUMPUR – Majoriti rakyat Malaysia yang terjerat dalam skim pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan di luar negara sebenarnya direkrut oleh rakan atau kenalan sendiri, bukannya melalui iklan pekerjaan di media sosial.
Itu pendedahan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim yang banyak berdepan dengan misi menyelamat mangsa pemerdagangan manusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, dapatan itu berdasarkan penilaian lapangan MHO hasil pengendalian pelbagai kes pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan, termasuk operasi menyelamat mangsa dari Myawaddy, Myanmar.
“Daripada kes yang kami kendalikan, kira-kira 80 peratus mangsa dibawa oleh rakan atau kenalan sendiri. Mereka bukan direkrut melalui iklan media sosial seperti yang sering disangka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya, corak tersebut menunjukkan sindiket kini semakin mengubah strategi dengan menggunakan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa sebagai ejen perekrut.
“Kaedah sindiket kini semakin berevolusi. Mereka menggunakan rakan sebaya untuk memperdaya mangsa, disertai paparan gaya hidup mewah dan janji pekerjaan lumayan di luar negara terutamanya golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan itu lebih berkesan kerana golongan belia cenderung mempercayai rakan sendiri berbanding amaran atau nasihat rasmi pihak berkuasa.
“Kebanyakan mangsa, khususnya belia, hanya menyedari mereka telah ditipu selepas tiba di luar negara, apabila pasport dirampas dan mereka dipaksa bekerja di pusat-pusat penipuan,” katanya lagi.
Hishamuddin berkata, ramai mangsa turut berdepan penderaan fizikal dan psikologi, termasuk dipukul, dibiarkan kelaparan serta dikenakan renjatan elektrik sekiranya gagal mencapai sasaran ditetapkan sindiket.
“Mangsa juga sering dijadikan alat untuk menekan keluarga melalui tuntutan wang tebusan yang tinggi,” katanya.
Mengulas peranan media sosial, beliau menegaskan platform seperti Facebook bukan lagi kaedah utama sindiket, walaupun masih digunakan sebagai saluran sokongan.
“Teknik melalui media sosial masih wujud, tetapi tidak lagi dominan seperti sebelum ini. Fokus utama kini adalah perekrutan secara langsung melalui rangkaian kenalan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin berkata lima keluarga tempatan tampil merayu bantuan selepas anak mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dan pemerdagangan manusia di Taiwan serta Kemboja.
“Mangsa dipercayai dipaksa bekerja oleh sindiket, didera dan berdepan hukuman berat. Keluarga merayu solusi kemanusiaan supaya anak mereka dapat dibawa pulang ke Malaysia dengan selamat,” ujarnya.
Beliau berkata, MHO kini bekerjasama rapat dengan pihak kedutaan Malaysia di Taiwan dan Kemboja bagi melaksanakan misi menyelamat, selain membantu keluarga dalam urusan rayuan serta pemantauan kes.
Hishamuddin turut menyentuh kepulangan selamat 20 rakyat Malaysia dari Myawaddy, Myanmar baru-baru ini yang disifatkan sebagai bukti kepentingan kerjasama erat pelbagai pihak.
“Daripada jumlah itu, 12 individu telah dilaporkan kepada MHO oleh ahli keluarga masing-masing. Ini menunjukkan betapa pentingnya laporan awal dan tindakan pantas,” katanya. -MalaysiaGazette


