LENGGONG bukan sahaja masyhur dengan sejarah dan alam semula jadi malah turut kaya dengan budaya serta tradisinya yang unik termasuklah hidangan tradisi yang menjadi keaslian warisan kulinarinya.
Dikenali sebagai kebebe, makanan tradisi yang dikatakan berusia lebih 100 tahun ini menggabungkan pelbagai bahan dengan rasa pahit, manis, masin, dan pedas sehingga mampu membuat orang ramai berulang kali menjamahnya.
Uniknya, kebebe ini hanya boleh ditemui di Lenggong dan Gerik yang berada dalam daerah Hulu Perak dan tidak ramai yang tahu menyediakan hidangan ini lebih-lebih lagi golongan muda.
Hidangan tradisional ini dikatakan sering dijamah penduduk kampung apabila badan mereka berasa panas atau dipanggil ‘badan dedor’ kerana ia didakwa mampu menyejukkan badan si pemakannya.
Menyedari potensi yang ada Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, telah mengambil inisiatif mengetengahkan kebebe sebagai salah satu tarikan pelancongan sehingga kini.
Pelbagai usaha dilaksanakan bagi mengetengahkan kebebe sebagai produk pelancongan di Lenggong termasuklah membawa pelancong melihat, mempelajari serta merasai hidangan tradisi itu.
Misalnya di Kampung Luat, ditubuhkan sebuah persatuan dikenali sebagai Dapur Warisan Kampung Luat yang dianggotai sekitar 15 wanita yang berpengalaman menghasilkan Kebebe.
Editor Malaysia Gazette (MG) Perak, Mohamad Hafizi Mohd Said sempat menemubual Rahmah Ahmad, 69, yang merupakan salah seorang ahli Dapur Warisan Kampung Luat bagi mengetahui sejarah serta pembuatan makanan tradisi Lenggong itu.
Kebebe dahulunya dimakan ketika kenduri
Menurut Rahmah, kebebe merupakan makanan masyarakat zaman dahulu terutamanya ketika mengadakan kenduri di mana bahan-bahannya diperoleh daripada sekitar rumah sahaja.
Katanya, keenakkan kebebe menjadikan makanan itu sebagai hidangan yang sering dijamah masyarakat Lenggong bukan hanya semasa kenduri sahaja.
“Sejak dahulu kami makan kebebe. Dulu-dulu orang tua mereka buat kenduri di bangsal, jadi bangsal akan dibina oleh orang lelaki manakala orang perempuan menumbuk kerisik dalam lesung.
“Bekas lesung ada sisa kerisik jadi mereka pergilah cari bahan-bahan sekeliling rumah seperti jantung pisang, putik nangka, nanas, pelam masukan dalam lesung tumbuk.
“Dari situ makanan berkenaan jadi popular dan setiap kali kenduri sahaja mesti akan ada yang menumbuk kebebe untuk dijadikan makanan,” katanya.
Bahan-bahan kebebe diperoleh sekeliling rumah
Ditanya mengenai bahan-bahan dan kaedah menyediakan kebebe, Rahmah berkata, bahan utama untuk membuat hidangan berkenaan ialah buah cermai, belimbing buluh, jantung pisang, buah nenas, jambu batu, putik nangka dan buah kelempung.
Katanya, bagi menyedapkan lagi hidangan ditambah cili api, belacan dan garam lalu ditumbuk bersama bahan-bahan tersebut menggunakan lesung kayu.
“Kalau dahulu bahan-bahan kebebe ini sekeliling rumah sahaja seperti jantung pisang, putik nangka, nanas, jambu dan apa sahaja yang tumbuh berdekatan rumah dan boleh dimakan.
“Cuma sekarang bahan-bahan buat kebebe kita kena beli sebab susah hendak cari, kena pusing kampung, masuk hutan cari bahan-bahan dia dan kita akan beli dari penduduk kampung,” katanya.
Rahmah berkata, selari dengan peredaran masa serta kesusahan mencari bahan membuat kebebe makanan tradisi itu diolah dengan ditambah bahan mudah dicari namun rasanya tetap sama iaitu pedas, pahit, masam dan manis.
“Kebiasaannya orang letak belimbing tapi kami di Dapur Warisan tidak letak. Jantung pisang wajib kalau tiada tidak sedap rasanya lain.
“Bahan lain kami guna, jambu batu, buah pelam masam dan manis, putik nangka, nanas, buah ara, buah cermai dan buah cedor yang hanya boleh dapat dalam hutan sahaja,” katanya.
Rahmah berkata, meskipun Kebebe masih ada di Lenggong dia menzahirkan kekhuatiran makanan tradisi itu bakal pupus ekoran generasi muda masa kini kurang mengenali apatah lagi menyediakannya.
“Generasi muda di Lenggong tidak ramai mengenali kebebe jika ada hanya sebilangan kecil sahaja memandangkan penyediaan makanan ini berbeza setiap kampung.
“Jadi saya harap generasi muda teruskanlah kebebe ini kerana ia warisan kita,” katanya. -MG Perak