PARIT – Sebanyak 11 laporan kecurian kompresor penghawa dingin diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah sepanjang 2024.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, kegiatan kecurian tersebut menggunakan modus operandi dengan menyasarkan premis dan rumah ditinggalkan dalam tempoh masa yang lama.
Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan seramai tujuh individu terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan berusia antara 17 hingga 45 tahun Berjaya ditahan polis.
“Daripada jumlah tersebut empat orang telah dihadapkan ke mahkamah dan dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Kesemua mereka ditahan oleh Bahagian Risikan Operasi Khas, IPD Perak Tengah dan pihak polis berjaya menyelesaikan tiga kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Hafezul Helmi menasihati orang ramai yang meninggalkan premis atau rumah dalam tempoh masa yang lama disaran memaklumkan kepada pihak polis.
“Mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan pihak polis membuat rondaan dan pemantauan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes kecurian kompressor penghawa dingin, sila hubungi IPD Perak Tengah di talian 05-3712222, menghantar melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu tular di laman sosial seorang individu mendakwa dua buah kompresor penghawa dingin miliknya di Seri Iskandar, di sini hilang dipercayai dicuri. -MG Perak