TAIPING – Tiga lelaki terselamat dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai dua tingkat yang menempatkan premis membaiki motosikal di Taman Kota Jaya, Simpang dekat sini awal pagi Jumaat.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.01 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dan BBP Kamunting diatur gerak ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman kebakaran.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati api sedang marak dan memusnahkan 60 peratus rumah kedai dua tingkat berkenaan.
“Kebakaran berlaku di bahagian bawah premis, sementara tiga penyewa lelaki yang mendiami tingkat atas selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Menurut beliau, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air dari jentera BBP Taiping, manakala pasukan dari BBP Kamunting memadan kebakaran dengan satu aliran 100 kaki satu pancutan air.
“Sumber air diperoleh daripada tangki jentera serta pili bomba berdekatan sehingga kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.25 pagi,” katanya.
Tambah beliau, Ia melibatkan seramai 16 anggota dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mazli Abdul Mutalib itu tamat pada jam 2.23 pagi.
Punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kemusnahan masih dalam siastan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: