Kediaman dibakar, Ngeh percaya berpunca kenyataannya berkaitan Islam

MANJUNG – Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, mengesyaki perbuatan khianat hingga menyebabkan tiga kereta miliknya terbakar sekitar jam 3 pagi pada Rabu, adalah disebabkan kenyataan beliau melibatkan isu Islam.

Penasihat DAP Perak itu berkata, beliau tidak pernah terlibat dengan mana-mana pertengkaran atau pertikaian memandangkan dirinya sentiasa bertindak secara profesional selama berada dalam dunia politik.

Justeru itu, Koo Ham berkata, satu-satunya penyebab kediaman beliau dilontar ‘molotov cocktail’ sehingga menyebabkan kebakaran di garajnya adalah kerana kenyataan media yang dikeluarkannya pada 28 Disember 2023.

“Kenyataan media saya adalah sebagai jawapan kepada cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membentuk jawatankuasa yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi untuk mengkaji konflik antara Undang-undang Syariah dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya secara khusus menyatakan bahawa pandangan orang bukan Islam berkenaan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan diambil kira dan tidak pernah pada bila-bila masa saya mengatakan bahawa mereka campur tangan dalam Undang-undang Islam atau perkara-perkara Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas, di Ayer Tawar, di sini pada Rabu.

tidak pernah terlibat dengan mana-mana pertengkaran atau pertikaian
Anggota Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan kebakaran di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar. Foto, ABDULLAH YUSOF 10 JANUARI 2024.

Menceritakan detik kejadian, Koo Ham berkata, kebakaran berkenaan disedari individu yang melalui rumahnya sebelum bertindak menekan loceng bagi memaklumkan bahawa keretanya sedang terbakar.

Menurut Koo Ham, isterinya, Cheok Foong Ling kemudian terjaga selepas mendengar bunyi bising loceng sebelum turun ke bawah dan melihat api sedang menjilat kenderaan miliknya.

“Isteri saya kemudiannya mengejutkan saya memaklumkan ada kebakaran di hadapan rumah dan apabila pintu dibuka saya lihat api sedang marak membakar kereta milik saya.

“Selepas api dipadam pihak bomba saya menghampiri serpihan botol yang saya lihat ketika membuka pintu rumah dan ia kelihatan seperti ‘firework candle’,” katanya.

Terdahulu media melaporkan tiga kenderaan milik Koo Ham terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar.

Sebelum ini, Ngeh Koo Ham pernah mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan supaya pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya memohon maaf menyatakan tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan: 

3 kereta MP Beruas terbakar: Mungkin ada unsur khianat

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI