Kedudukan Ahli Parlimen, ADUN ditentukan Speaker bukan ketua penerangan parti

IPOH – Kedudukan tempat duduk Ahli Parlimen di Dewan Rakyat bukan ditentukan berdasarkan parti yang diwakili sebaliknya merupakan hak mutlak Speaker.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, justeru itu, ia tidak boleh ditentukan oleh mana-mana pemimpin parti termasuk ketua penerangan.

Jelas beliau, perkara tersebut juga merupakan amalan biasa dalam sistem Parlimen negara-negara Komanwel yang membahagikan kedudukan kepada blok kerajaan dan blok pembangkang.

“Memang di negara kita ada Ahli Parlimen dan juga ADUN bebas dan mereka boleh menentukan sokongan dalam dewan seperti kalau dia sokong kerajaan maka duduklah di blok kerajaan.

“Jika dia bebas menyokong blok pembangkang maka kerusinya di blok pembangkang. Bukan semata-mata soal parti yang diwakili menentukan kedudukan Kerusi dalam dewan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainol Fadzi yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, pengalaman lalu membuktikan bahawa Speaker mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan susunan tempat duduk.

Katanya, pada April 2025, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika itu pernah menulis surat kepada Speaker Dewan Negeri Perak bagi memohon agar beliau dipindahkan daripada kedudukan kerusi sedia ada atas alasan bukan lagi Setiausaha Bersatu Perak.

“Bagaimanapun, Speaker tidak mengubah kedudukan tersebut kerana ia adalah kuasa Speaker dan bukan ditentukan oleh jawatan dalam parti.

“Sebaliknya, faktor seperti kedudukan sebagai Ketua Whip Dewan Negeri, senioriti sebagai ADUN serta peranan sebagai Exco Kerajaan Negeri turut dipertimbangkan dalam menentukan tempat duduk,” jelasnya.

Terdahulu media melaporkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan lagi ahli parti itu dan tidak mempunyai sebarang hak untuk mewakili Ahli Parlimen Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) dalam apa jua kapasiti rasmi di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 9(1) Akta Lompat Parti 2022, semua yang dipecat perlu dipindahkan ke blok Bebas dan tidak lagi mewakili Bersatu dan PN. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI