Kegagalan pendidikan punca krisis jiwa generasi muda – Sultan Perak

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap gejala sosial yang semakin membarah dalam kalangan pelajar apabila sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat kini terdedah kepada pelbagai ancaman.

Baginda bertitah, apabila amanah dikhianati dan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negara, maka hilanglah benteng. Justeru, pembinaan jati diri dalam kalangan anak-anak di sekolah serta pelajar di pusat pengajian perlu diutamakan.

Menurut baginda, kebelakangan ini negara dikejutkan dengan pelbagai peristiwa hitam dalam alam persekolahan seperti kes buli, keganasan, rogol, kematian dan pembunuhan yang dilakukan oleh remaja di bawah usia 17 tahun.

Titah baginda, ini mencerminkan kegagalan pendidikan dalam membentuk nilai kemanusiaan sehingga mencetuskan krisis jiwa dan gangguan emosi dalam kalangan generasi muda.

“Krisis kemanusiaan sedang berlaku di tempat yang paling selamat buat anak-anak. Krisis yang berlaku hari ini tidak adil dipolemikkan dan dipolitikkan untuk mempersalahkan kepimpinan semasa,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa masalah ini bukan berpunca secara tiba-tiba, sebaliknya ibarat ‘sel barah’ yang telah lama membiak akibat kealpaan dalam mencegahnya pada peringkat awal.

“Secara jujur, secara ikhlas kita hendaklah berani mengakui bahawa sel-sel barah yang telah tumbuh membesar hingga ke tahap kritikal, bermula dengan sel kecil, berhimpun secara kumulatif untuk sekian lamanya, mungkin disebabkan kealpaan kita mencegah di peringkat awal secara berkesan, secara bersungguh,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa sifat penafian, ego, enggan menerima teguran serta kompromi terhadap kesalahan telah menyuburkan masalah itu hingga ke tahap membimbangkan.

“Matlamat suci sebenar pendidikan mungkin telah lama kita alpakan kerana terlalu taksub memberi fokus untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berbentuk kuantitatif, pada harga mengorbankan komponen kualitatif,” titah baginda. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan sampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI