PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kes kehilangan Pamela Ling Yueh yang dipercayai diculik kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan wanita itu telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 9 April, bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Bagaimanapun, wanita terbabit gagal hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada tarikh tersebut, serta peranti komunikasinya gagal dihubungi oleh pegawai SPRM.
“Satu laporan polis turut dibuat oleh peguam yang mewakili wanita itu mengenai kehilangannya, pada hari yang sama.
“Sehubungan dengan itu, SPRM menyerahkan usaha mengesan wanita terbabit kepada pihak PDRM berdasarkan laporan polis yang telah dibuat,” menurut kenyataan SPRM.
Susulan itu, SPRM meminta agar mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan maklumat daripada sumber berita yang tidak sahih, serta memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata polis telah mengambil keterangan 12 saksi berhubung kes itu, termasuk ahli keluarga, pegawai SPRM dan peguam mangsa bagi membantu siasatan.
— BERNAMA