Keindahan Batu Gajah tambat hati pereka fesyen Belanda

BATU GAJAH – Keindahan flora dan fauna di Batu Gajah telah menambat hati pereka fesyen kelahiran Belanda, Lisette Scheers dan memutuskan untuk melebarkan sayap perniagaannya di sini.

Beliau yang menetap di Malaysia sejak lebih 50 tahun itu berkata, ia merupakan cawangan Nala Designs Sdn bhd (Nala) yang kelima selepas di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Menurutnya, beliau yakin perniagaan yang diasaskannya itu akan diterima baik dalam kalangan pasaran setempat.

Batu gajah pereka fesyen Lisette Scheers belanda Nala Design baju kurung pakaian corak
Pemilik butik Nala Designs Sdn Bhd (Nala), Lisette Scheers menunjukkan salah satu koleksi yang ada di butiknya pada Majlis Pembukaan Nala Designs di Silverlakes Village Outlet (SVO), Batu Gajah. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 MEI 2024.

“Pertama kali saya datang, saya telah jatuh cinta dengan pemandangan tasik dan persekitaran di sini.

“Malah menariknya, saya baru mengetahui bahawa ramai pelanggan kami di sini yang selama ini hanya mendapatkan barangan kami melalui pembelian atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perasmian cawangan butik Nala di Silverlakes Village Outlet, dekat sini, pada Sabtu.

Batu gajah pereka fesyen Lisette Scheers belanda Nala Design baju kurung pakaian corak
Pelbagai jenis koleksi seperti pakaian wanita, aksesori, dan barangan rumah yang mempunyai keunikan corak tersendiri ada terjual di butik Nala Designs di Silverlakes Village Outlet (SVO), Batu Gajah. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 MEI 2024.

Menurut Lisette, premis Nala di sini menempatkan pelbagai pakaian wanita, aksesori, dan barangan rumah yang mempunyai keunikan corak tersendiri.

Jelasnya, ia seperti baju T, cawan dan pinggan dengan mempamerkan reka bentuk corak yang mempunyai elemen Batu Gajah.

Pada masa sama, ibu tunggal itu berkata, beliau lebih memilih kepada konsep warna terang dan corak lukisan tangan kepada setiap produk yang dihasilkan, termasuk baju kurung dan kebaya berbanding konsep lain.

Batu gajah pereka fesyen Lisette Scheers belanda Nala Design baju kurung pakaian corak
Pelbagai jenis koleksi seperti pakaian lelaki dan wanita, aksesori, dan barangan rumah yang mempunyai keunikan corak tersendiri ada terjual di butik Nala Designs di Silverlakes Village Outlet (SVO), Batu Gajah. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 MEI 2024.
Pengunjung melihat pelbagai jenis koleksi seperti pakaian lelaki dan wanita, aksesori, dan barangan rumah yang mempunyai keunikan corak tersendiri yang terjual di butik Nala Designs di Silverlakes Village Outlet (SVO), Batu Gajah. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 MEI 2024.

“Saya lebih gemar kepada konsep fesyen yang boleh dipakai semua golongan masyarakat dan bertahan lama, berbanding konsep yang mengikut satu-satu trend seperti ‘fast fashion’.

“Saya mahu setiap pemakaian pakaian kami berasa selesa dan yakin dengan apa yang mereka pakai,” katanya lagi.

Di samping itu, Lisette memberitahu, beliau dalam perancangan untuk memperkenalkan koleksi-koleksi baharu Nala meliputi pakaian kebaya, baju kurung kanak-kanak serta pakaian lelaki pada awal tahun depan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

 

Silverlakes Village Outlet dilimpahi cahaya bersama itik gergasi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI