IPOH – Polis merampas 385 kilogram (kg) dadah dipercayai methamphetamine dan heroin base bernilai hampir RM13 juta selepas mengejar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream sejauh dua kilometer (km) dalam kejadian di Kilometer 375 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Slim River, Tanjung Malim Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam kejadian sekitar jam 1.30 petang itu, sepasukan anggota peronda lebuhraya (EMPV) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah menahan MPV tersebut selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila diarahkan berhenti, suspek telah memecut kenderaan dan cuba melarikan diri. Polis kemudiannnya bertindak mengejar kenderaan tersebut kira-kira dua kilometer sebelum berhenti dan dua suspek kemudian melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran
“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit membawa kepada penemuan 15 guni berisi dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 374 kg dan satu bungkusan plastik hitam mengandungi heroin base seberat 11.281 kg.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,945,603 adalah yang terbesar di Perak setakat ini dan dipercayai untuk pasaran Lembah Klang, dan mampu digunakan oleh lebih 3.7 juta penagih dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan ke atas MPV yang dirampas mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita dan bukan kenderaan curi.
“Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut serta akan memanggil pemilik kenderaan bagi memberi keterangan,” ujarnya.
Noor Hisam berkata, kejayaan ini hasil daripada risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di sisi undang-undang.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) komited memerangi aktiviti pengedaran dadah demi melindungi generasi kini dan akan datang,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: