Kejayaan Perak nokhtah miskin tegar wajar diperluas ke negeri lain

KEJAYAAN Kerajaan Negeri Perak menokhtahkan miskin tegar membabitkan 8,128 Ketua Isi Rumah (KIR), wajar dijadikan contoh oleh negeri yang mencatat kadar kemiskinan tegar tertinggi seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Beberapa mekanisme utama dalam membasmi miskin tegar yang diguna pakai Kerajaan Negeri Perak boleh diadaptasi negeri lain melalui kerjasama kedua-dua pihak.

Antaranya pelaksanaan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial yang menghimpunkan agensi pemberi bantuan di Bawah satu platform serta pelaksanaan Bengkel Pelan Tindakan Menokhtahkan Kemiskinan.

Bercakap kepada MG Perak, Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zainizam Zakariya berkata, beliau melihat pelaksanaan program OSC Sejahtera Sosial yang dipakai Perak memudahkan proses bantuan kepada golongan miskin tegar.

Menurut beliau, ia menyediakan pelbagai peluang seperti bantuan kewangan, pemadanan pekerjaan dan peningkatan pendapatan melalui latihan dan pengembangan bakat di mana program OSC Sejahtera Sosial ini telah dilaksanakan di daerah Manjung; Larut, Matang dan Selama serta Hulu Perak.

Prof Madya Dr Zainizam Zakariya.

 

“Sebelum adanya OSC Sejahtera Sosial, kelemahan utama adalah ketidakselarasan dalam pemberian bantuan, di mana setiap agensi mempunyai cara dan sistem mereka sendiri dan ia menyebabkan berlakunya pertindihan bantuan serta ketidakcekapan dalam mencapai golongan sasar.

“Dengan adanya program ini, bantuan menjadi lebih teratur, menepati sasaran dan memudahkan penerima dalam mendapatkan bantuan yang diperlukan tanpa perlu berurusan dengan banyak agensi secara berasingan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainizam berkata, pelaksanaan Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan yang melibatkan 53 agensi juga merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh Kerajaan Negeri Perak yang berjaya menokhtahkan isu kemiskinan tegar di negeri ini.

Ujar beliau, bengkel pelan tindakan itu merupakan satu usaha untuk merancang dan melaksanakan strategi-strategi khusus bagi menangani isu miskin tegar di Perak.

“Bengkel ini melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar ekonomi untuk berbincang serta merangka pelan tindakan yang efektif.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menyerahkan Kad Perak Sejahtera kepada Nur Nabilatul Awiryah Azahar 31, pada Program Ziarah Kasih Bersama Kak Sal dibawah insiatif membasmi kemiskinan di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Antara aktiviti utama bengkel ini adalah bimbingan dan latihan di mana ia menyediakan peluang meningkatkan kemahiran individu dan seterusnya membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri,” katanya.

Justeru itu, beliau berpandangan keberkesanan program-program berkenaan kepada Kerajaan Negeri Perak dalam menoktahkan kemiskinan tegar  dalam tempoh enam bulan pertama 2024, wajar diperluaskan ke negeri-negeri lain seperti Sabah, Kelantan dan Sarawak yang mencatat kadar kemiskinan tegar tertinggi.

Beliau bagaimanapun berkata, negeri-negeri yang ingin mengadaptasi program ini bagi membasmi miskin tegar perlu mempertimbangan beberapa perkara seperti sumber kewangan yang mampan.

“Ini kerana program tersebut memerlukan sumber kewangan yang besar untuk dijalankan dengan berkesan dan sekiranya tidak mencukupi ia boleh menjejaskan keberkesanan program.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (dua, kanan) menyerahkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah kepada penerima ketika merasmikan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak Tahun 2024 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Perkara kedua perlu dipertimbangkan adalah pengurusan dan penyelenggaraan pusat sehenti yang memerlukan koordinasi baik antara pelbagai agensi kerajaan dan NGO. Kegagalan dalam koordinasi ini boleh mengakibatkan perkhidmatan yang tidak efisien dan berkesan,” katanya.

Tambah Zainizam lagi, pengukuran keberkesanan di mana terdapat keperluan untuk mekanisme yang jelas dalam mengukur keberkesanan program ini juga wajar dipertimbangkan negeri yang ingin mengadaptasinya.

Katanya, tanpa penilaian yang betul, sukar untuk mengetahui sejauh mana program tersebut berjaya mengurangkan miskin tegar di negeri masing-masing.

“Seterusnya kesedaran dan aksesibiliti di mana golongan sasaran mungkin tidak menyedari kewujudan pusat ini atau menghadapi kesukaran untuk mengaksesnya, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan pendalaman juga perlu diberikan keutamaan.

Penerima Kad Perak Sejahtera, Suzana Zainun pada Program Ziarah Kasih Bersama Kak Sal dibawah insiatif membasmi kemiskinan di Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Selain itu, risiko ketergantungan kepada bantuan boleh wujud jika tiada usaha yang kukuh untuk menggalakkan kemandirian melalui latihan dan peluang pekerjaan juga harus menjadi pertimbangan agar ia tidak mengalami kegagalan.

“Akhir sekali, mengambil pendekatan yang lebih holistik dengan memasukkan aspek pendidikan, kesihatan, pekerjaan, dan perumahan dalam program. Jika negeri-negeri lain mengadaptasi program ini dengan memperbaiki kelemahan yang ada, ia boleh menjadi alat yang efektif dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, pada awal Jun mengumumkan Perak menjadi negeri pertama berjaya menoktahkan miskin tegar membabitkan 8,128 KIR yang didaftarkan dalam e-Kasih pada 1 Februari tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil keberkesanan pelaksanaan program OSC Sejahtera Sosial Negeri Perak.

Saarani berkata, terdapat juga agensi yang menyediakan peluang untuk penerima bantuan untuk mengembangkan perusahaan dan perniagaannya menerusi pemberian bantuan tersebut. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Perak jadi negeri pertama noktahkan miskin tegar tahun ini

80 peratus KIR di Perak berjaya keluar dari miskin tegar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI