IPOH – Persatuan Bola Sepak India Perak berusaha mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain muda supaya mereka dapat beraksi di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
Presidennya, Datuk Amaluddin Mohd Ismail berkata, Kejohanan Bola Sepak Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Perak antara platform yang mengumpulkan pemain-pemain cilik untuk mempamerkan aksi mereka pada perlawanan tersebut.
Menurutnya, kejohanan yang memasuki edisi ke-17 itu berjaya menarik 62 pasukan dari seluruh Perak berbanding hanya lapan pasukan pada kali pertama penganjuran acara tersebut.
“Hari ini kita ada sesi pemilihan pemain. Kita tengah pilih dalam 20 hingga 25 orang pemain untuk membentuk satu pasukan baharu. Matlamat kita adalah untuk menyertai liga dan bermain dengan pasukan-pasukan lain.
“Pasukan yang dibentuk nanti akan berpeluang beraksi dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), selain di peringkat daerah.
“Kalau boleh, kita mahu gabungkan pemain pelbagai kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India dalam satu pasukan. Ini penting bagi membina semangat perpaduan dan kekuatan pasukan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Kejohanan Bola Sepak Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Perak ke-17 yang di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Amaluddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak khususnya Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan yang banyak menyalurkan sumbangan untuk pembangunan bola sepak masyarakat India.
Katanya, Sivanesan menerusi kerajaan negeri turut menyumbangkan RM50,000 bagi tujuan tersebut.
“Penganjuran kejohanan seperti ini memerlukan banyak perbelanjaan antaranya penyediaan makanan dan penginapan kepada peserta. Terima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan,” ujarnya.
Perasmian pembukaan kejohanan bola sepak itu disempurnakan Sivanesan manakala upacara penutup dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.
Pada kejohanan kali ini, SJKT Chettiar, Ipoh berjaya merangkul kejuaraan manakala SJKT Sim Wah, Taiping hanya sekadar menduduki tempat kedua.
Bagi kategori perempuan pula, johan dimenangi SJKT Kerajaan, Ipoh dan naib johan disandang SJKT Ayer Tawar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PAFA fokus pembangunan bola sepak berintegriti, sasar kejayaan Sukma 2026