BEHRANG – Kejohanan FIRA Malaysia Cup 2024 kali ke-17 anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPKK) telah berlangsung bermula 21 April hingga 26 April lalu.
Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) yang menjadi tuan rumah penganjuran tahun ini melibatkan seramai 978 peserta daripada 27 politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, penganjuran ini merupakan satu manifestasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan JPPKK untuk melahirkan pelajar dan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.
“Kerjasama positif dan efektif yang terjalin dengan pelbagai industri di luar sana telah memberi faedah dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi robotik.
“Ini merupakan usaha positif Jabatan ini ke arah merangsang perkongsian idea, maklumat dan pengalaman knowledge sharing,” katanya melalui kenyataan media, pada Ahad.
Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan tahun ini iaitu Simurosot, AiBot, HuroCup, MyBot, Robosot, Androsot, Air Drone, Business and Innovation dan Autonomous Car.
‘Autonomous Car Challenge’ merupakan kategori baharu yang diperkenalkan dalam kejohonan kali ini dan program mySTEM diperkasakan lagi pelaksanaannya.
Selain itu, beberapa aktiviti turut dilakukan sepanjang kejohanan berlangsung seperti pameran industri, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), seminar dan bengkel perkongsian ilmu dan sebagainya.
Tambah Zahari, POLYCC mendukung usaha kerajaan dalam memaksimumkan penggunaan teknologi AI dan robotik di Malaysia.
“Ia berpotensi mencipta peluang ekonomi di Malaysia dalam meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos.
“Ini terbukti dengan usaha JPPKK dalam membantu pelajar membina nama dan mencipta kemahiran robotik dengan kreativiti luar biasa,” ujar beliau – MG Perak
Artikel Berkaitan: