IPOH – Aspek keselamatan dan kebersihan menjadi pertimbangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam mengekalkan keputusan untuk memindahkan 44 peniaga kecil jualan but kereta dari Dataran MBI ke MBI Terrace.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, dua aspek itu antara perkara yang diambil kira mengapa semua peniaga terlibat tidak dapat dikekalkan di hadapan Bangunan MBI itu.
Katanya, walau bagaimanapun, kerajaan negeri dan MBI sentiasa berusaha dalam mewujudkan situasi menang-menang dengan semua pihak khususnya dalam kalangan peniaga kecil terlibat.
“Kita telah menerima aduan sejak awal tahun ini, dan susulan itu pelbagai siri pemantauan serta perbincangan dengan pihak peniaga telah diadakan.
“Namun apabila terdapat peniaga-peniaga menjual makanan tular, berlaku peningkatan jumlah peniaga kecil baru dalam masa sangat singkat.
“Oleh itu menjadi kerisauan semua pihak apabila ia turut melibatkan soal kawalan keselamatan, kebersihan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Sejahtera Warga Emas Komuniti Mesra Usia di Pusat Transformasi Bandar, (UTC) Perak, dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan.
Menurut Sandrea, pihaknya juga bersedia untuk membantu mempermudahkan penempatan baki 36 peniaga kecil jualan but kereta baru di lokasi sesuai dalam memastikan isu ini tidak terus berlarutan.
“Kita sedar mungkin akan ada timbul masalah selepas mereka ini pindah ke lokasi perniagaan baru kelak.
“Namun kita akan pastikan dalam soal publisiti dan sebagainya, mereka akan dibantu agar perniagaan tidak terjejas,” katanya lagi.
Pada Isnin MG Perak melaporkan, pengekalan keputusan memindahkan peniaga kecil di Dataran MBI ke MBI Terrace adalah jalan penyelesaian harmoni antara dua pihak berkenaan.
Rumaizi berkata, pihaknya telah menerima lebih 30 aduan melalui sistem MyAduan MBI sejak awal tahun ini berkaitan aktiviti jualan but kereta di hadapan Bangunan MBI.
Pada 15 Disember lalu, media melaporkan seramai 80 peniaga kecil di lokasi berkenaan merayu agar tapak jualan sedia ada dikekalkan dan tidak dipindahkan ke tapak baharu seperti diarahkan MBI.
Pengerusi Persatuan Carbooth Dataran MBI, Elham Mifzal Ellias berkata, penempatan semula peniaga ke MBI Terrace dilihat akan memberi kesan kepada pendapatan mereka berikutan keadaan lokasi yang tidak strategik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Terima 30 aduan berkaitan perniagaan kecil Dataran MBI – Rumaizi