Kekosongan jawatan dalam Kabinet, Zahid tunggu keputusan PM

SEMENYIH – Pertanyaan berkenaan rombakan Kabinet yang akan datang perlu diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Soalan itu (mengenai rombakan kabinet) sepatutnya ditujukan kepada perdana menteri,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media sama ada perbincangan telah diadakan dengan pemimpin parti-parti kerajaan perpaduan, selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di sini hari ini

Ditanya sama ada BN telah mencadangkan sebarang nama untuk mengisi kekosongan dalam Kabinet, beliau berkata, Perdana Menteri masih belum membincangkan perkara tersebut.

“Perdana Menteri belum bertanya lagi. Apabila tiba masanya, saya akan memaklumkan kepada media,” katanya.

Pada 7 Disember, Anwar mengesahkan beliau sudah mempunyai senarai bagi rombakan Kabinet yang akan datang, namun masih belum mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti-parti kerajaan perpaduan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan sebelum ini menyifatkan rombakan tersebut sebagai satu langkah ‘kecil’ yang bertujuan mengisi kekosongan jawatan, bukannya membuat perubahan besar terhadap barisan Kabinet sedia ada.

Ketika ini, Kabinet Malaysia mempunyai empat jawatan kosong susulan beberapa peletakan jawatan baru-baru ini.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan pada Mei lalu manakala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick meletak jawatan bulan lalu.

Kekosongan itu bertambah apabila tempoh jawatan senator Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berakhir awal bulan ini.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengambil alih tanggungjawab portfolio Ekonomi, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, mengawasi portfolio Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula mengambil alih tugas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI