LUMUT – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan berhubung penampakan buaya air masin di sekitar Pantai Teluk Batik, di sini pada Khamis.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima aduan berhubung penemuan buaya itu sekitar jam 5 petang tadi.
Beliau berkata, selain Perhilitan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menerima aduan mengenai kelibat reptilia itu.
“Setakat ini, kita hanya menjalankan pemantauan dan tiada sebarang tangkapan (buaya) dibuat,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau turut menasihatkan supaya nasihat orang ramai lebih berhati-hati, jangan hampir atau cuba tangkap serta melakukan provokasi ke atas reptilia iti dengan membaling sebarang objek.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Manjung, Kapten (PA) Norazlan Turiman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung reptilia tersebut daripada mesej Whatsapp APM Manjung sekitar jam 1.09 petang.
Menurutnya, selepas menerima maklumat, ketua penyelamat pantai (Baywatch) APM bertindak membuat rondaan serta pemantauan terhadap reptilia tersebut.
“Kita turut menerima rakaman penampakan buaya itu daripada anggota Vale (Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd) yang berada berdekatan dengan jeti Vale.
“Seramai empat anggota penyelamat pantai telah bergerak ke lokasi menggunakan bot APM bagi memantau dan mengesahkan kehadiran reptilia tersebut.
“Buaya air masin itu berjaya dikesan sekitar jeti Vale dan telah dimaklumkan pada Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) dan Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah (TPPAD) Manjung.
“Sejurus selesai melakukan pemantauan, anggota penyelamat pantai telah balik ke Menara Petugas Penyelamat Pantai Teluk Batik,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
Beliau berkata, ketua penyelamat pantai telah memaklumkan mengenai kehadiran reptilia buaya tersebut kepada PPAD dan TPPAD untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, tular beberapa video di media sosial berhubung penampakan buaya air masih di sekitar perairan Pantai Teluk Batik. – MG Perak
Artikel Berkaitan: