Kelibat harimau belang di Gerik: Tiada aduan baharu diterima – Perhilitan

SUNGAI SIPUT – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak tidak menerima sebarang aduan baharu berkaitan laporan kemunculan seekor harimau belang berkeliaran berhampiran Kampung Kuala Kenering di Gerik.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, bagaimanapun pihaknya masih menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan susulan pemasangan perangkap haiwan itu di lokasi tersebut.

“Dakwaan yang mengatakan sudah sebulan harimau itu kelihatan berkeliaran di kawasan berkenaan adalah tidak berasas kerana, kami hanya menerima aduan pada 3 Disember lalu.

“Ekoran tiada aduan baharu diterima, kami berharap haiwan berkenaan sudah kembali ke Hutan Simpan Papulut yang terletak satu kilometer sahaja dari kawasan yang dilaporkan kelihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada operasi pemindahan seekor gajah liar di RPS Legap, dekat sini, pada Isnin.

Selain itu Yusoff berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan haiwan pemangsa itu meninggalkan habitat asalnya, dan ia termasuk kekurangan sumber makanan serta kemungkinan ingin mencari kawasan baharu.

Pada masa sama beliau menasihatkan kepada semua pihak untuk tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya menjumpai haiwan seumpama itu.

“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai sekiranya menjumpai kumpulan mencurigakan seperti pemburu haram di kawasan sekitar, segera menghubungi pihak Perhilitan.

“Selain itu, harimau belang ini tidak akan ada masalah sekiranya tidak dicederakan dan sebagainya. Dan juga, manusia bukan salah satu daripada diet atau makanan harian haiwan tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan Perhilitan Perak telah menerima laporan berkenaan kemunculan seekor harimau belang berkeliaran di Jalan Baling-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Kuala Kenering.

Kehadiran haiwan pemangsa itu dilaporkan disedari penduduk yang melalui kawasan berkenaan sekitar jam 8.30 malam dalam keadaan seperti kelaparan. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Harimau merayap di Kenering, Perhilitan pasang perangkap

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI