Kelindan lori mengaku tak bersalah tikam adik tiri guna pisau pemotong sayur

TELUK INTAN – Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, hari ini atas pertuduhan menikam adik tirinya menggunakan pisau pemotong sayur pada Isnin lalu.

Tertuduh, L Thiyagaraj, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret T Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas L Dewi, 31, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur di sebuah rumah di Taman Muhibbah, di sini, pada jam 8 malam, Isnin lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan, iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara yang dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ashvinii membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan tidak boleh berjumpa dengan mangsa sehingga kes selesai serta menetapkan 9 Mei depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Noor Aisyah Mat Isa manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Difahamkan bapa kepada seorang anak itu bertengkar dengan mangsa sebelum lelaki terbabit sebelum bertindak mengambil pisau pemotong sayur dan menikam mangsa sebanyak sekali. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Langgar mati tiga lelaki Pakistan: Pembantu kedai makan mengaku salah ambil dadah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI