TANJUNG MALIM – Seorang kelindan treler maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah treler di Kilometer 386 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Slim River dekat sini pada Jumaat.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 pagi berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan sebuah lori bonded tiga tan membawa muatan barangan plastik dengan sebuah lori treler 40 kaki yang membawa muatan gula pasir.
“Ketika jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River tiba di lokasi, didapati lori bonded berkenaan telah terbabas ke dalam longkang dan pemandunya, seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Kemudian, sebuah treler pula terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik, menyebabkan kelindannya, seorang lelaki berusia 33 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu treler yang berusia 51 tahun bagaimanapun dilaporkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, ketua operasi menjalankan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum kerja-kerja menyelamat dilaksanakan menggunakan peralatan khas dan pengusung bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa terbabit kemudian diperiksa oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,“ ujarnya.
Tambahnya, pemandu lori bonded yang cedera menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan KKM di tempat kejadian dan operasi tamat sepenuhnya jam 11.30 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


