Keluarga Altantuya hanya dapat ganti rugi RM1.41 juta

KUALA LUMPUR – Keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu hanya mendapat ganti rugi berjumlah RM1.41 juta selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkannya daripada RM5 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hashim Hamzah memberikan ganti rugi teruk RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan berkabung RM10,000 dan perbelanjaan pengebumian RM15,000 kepada keluarga tersebut.

Beliau yang kini Hakim Besar Malaya bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda terhadap kuantum untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 Februari tahun lalu.

Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman yang difailkan keluarga itu berhubung kematian Altantuya pada 2006 lalu, terhadap empat defendan termasuk kerajaan Malaysia.

Turut disaman, dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutuan) memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar membayar ganti rugi sama.

Namun kedua-duanya tidak merayu terhadap keputusan tersebut.

Pada asalnya, saman itu difailkan bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, pada 4 Jun 2007.

Bagaimanapun, Altanshagai meninggal dunia pada 2017 dan dikeluarkan daripada senarai plaintif.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI