PARIT – Ahli keluarga kanak-kanak perempuan yang didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan di sebuah hospital di Teluk Intan, bulan lalu telah membuat permohonan maaf.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, permohonan maaf itu dibuat bapa dan juga ibu saudara kanak-kanak berusia tiga tahun itu pada Khamis.
Menurut Sivanesan, ibu saudaranya yang bertindak memuat naik hantaran berkenaan di laman sosial telah menyuarakan kekesalan melalui panggilan telefon yang dibuat kepada beliau.
“Mak cik dan ayah mangsa sudah menghubugi saya lebih kurang tiga kali dan mereka memohon maaf serta menerima hakikat apa yang telah berlaku.
“Saya juga telah meminta kedua-dua mereka untuk pergi ke hospital terlibat dan memberi kenyataan serta memaklumkan mengapa mengambil tindakan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Peluncuran Ops Ramadan Peringkat Negeri Perak di Bazar Ramadan SIBC, Seri Iskandar, di sini, pada Khamis.
Sivanesan berkata, dengan permohonan maaf yang telah dibuat oleh keluarga mangsa kes berkenaan dianggap telah selesai namun siasatan masih dijalankan bagi membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menyediakan laporan kepada Kementerian Kesihatan.
Terdahulu media melaporkan JKN Perak sedang menyiasat dakwaan seorang kanak-kanak perempuan yang dikatakan meninggal dunia selepas di selepas menerima suntikan di sebuah hospital di Teluk Intan.
Sivanesan ketika ditemui pemberita memaklumkan siasatan awal berhubung perkara itu telah dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak itu.
Katanya, ia ekoran terdapat pelbagai versi laporan insiden itu yang mana ia menimbulkan kekeliruan berkenaan fakta sebenar kejadian menimpa kanak-kanak tiga tahun itu. –MG Perak
Artikel Berkaitan:
JKN Perak siasat dakwaan kanak-kanak meninggal dunia selepas terima suntikan