PETALING JAYA – Kemajuan negara-negara anggota ASEAN perlu seiring dengan integriti kerana rasuah menghakis kepercayaan awam, melemahkan tadbir urus dan menjejaskan perpaduan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, ini kerana integriti, ketelusan dan akauntabiliti bukan sekadar pilihan moral, bahkan asas kepada masyarakat mampan dan inklusif.
“Tema mesyuarat tahun ini, Memperkukuhkan Perpaduan ASEAN: Perkongsian Awam-Swasta untuk Membanteras Rasuah sangat tepat pada masanya.
“Ia mengingatkan kita tanggungjawab untuk menegakkan integriti adalah milik kita semua, kerajaan, perniagaan, masyarakat sivil dan rakyat adalah sama sama.
“Hanya melalui komitmen bersama, kita dapat membina sistem yang memberi ganjaran kepada kejujuran, melindungi kepentingan awam dan menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Azalina berkata, Malaysia kekal teguh dalam memajukan pembaharuan yang memperkukuhkan tadbir urus yang baik.
“Di bawah portfolio Undang-undang dan Reformasi Institusi, kami terus memperkukuh rangka kerja perundangan dan institusi.
“Kami juga akan meningkatkan kebebasan badan penguatkuasaan dan pengawasan serta memupuk kepimpinan beretika dan tanggungjawab sivik merentasi masyarakat,” katanya.
Menurut Azalina, pembaharuan ini mencerminkan kepercayaan kerajaan di mana integriti mesti melangkaui sempadan kemajuan negara dan kerjasama serantau mesti berjalan seiring.
Selain itu, kata Azalina, ASEAN-PAC perlu menjadi platform penting untuk berdialog, pembelajaran bersama dan kerjasama rentas sempadan untuk menghadapi rasuah.
“Ia menunjukkan azam kolektif ASEAN untuk menyelaraskan komitmen serantau dengan usaha global di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).
“Mesyuarat ini bukan sekadar perhimpunan rutin, bahkan forum di mana komitmen menjadi kerjasama dan kerjasama membawa kepada perubahan yang nyata.
“Marilah kita berani, inovatif, dan berpandangan jauh dalam memastikan institusi kita kekal berdaya tahan, adaptif dan dipercayai oleh rakyat.
“Perpaduan ASEAN bukan dibina atas keseragaman tetapi atas keyakinan bersama bahawa integriti menguatkan negara dan keadilan menjaga keamanan,” katanya. – MalaysiaGazette


