IPOH – Lima individu berdepan detik cemas selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kereta dengan salah satunya mengalami kebakaran di jalan berhampiran Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, dekat sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.51 malam.
Katanya, sejurus selepas itu lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya diatur gerak ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic bersama pemandu dan dua penumpang, serta kereta jenis BMW bersama pemandu dan seorang penumpang.
“Kemalangan tersebut telah mengakibatkan berlaku kebakaran pada kadar 30 peratus pada bahagian enjin kereta Honda Civic.
“Pemandu berusia 19 tahun telah mengalami kecederaan patah kaki. Penumpang berusia 22 tahun mengalami cedera pada muka, dan penumpang berusia 19 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Sabarodzi berkata, sementara itu pemandu kereta BMW berusia 22 tahun dan penumpangnya berusia 25 tahun masing-masing mengadu sakit pada bahagian dada dipercayai akibat hentakan daripada kemalangan.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang merupakan warga tempatan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan susulan.
“Selain itu pasukan bomba juga menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan bekalan air dari tangki jentera bagi memadam kebakaran yang kemudiannya berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohammad Norshazwan Mohd Puzi itu tamat pada jam 9.05 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan: