Kemalangan jalan raya buka mata jadi penderma darah

TANJUNG MALIM – Insiden kemalangan jalan raya pada 1991 yang menyebabkan kaki kanannya patah sehingga terpaksa dimasukkan besi menjadi titik tolak kepada S. Shanmugam, 54, untuk menjadi penderma darah.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, pengalaman menjalani pembedahan yang ditangguhkan kerana kekurangan bekalan darah jenis AB negatif membuka matanya tentang kepentingan menderma darah.

Kemalangan jalan raya jadi titik tolak derma darah penderma darah Perak, Hari Penderma Darah Sedunia, S Shanmugam penderma darah, stok darah hospital Perak, A Sivanesan Perak Kisah inspirasi penderma darah Perak kempen derma darah Perak, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hari Penderma Darah, bekalan darah Malaysia
Penerima anugerah Darah Utuh (AB negatif), S. Shanmugam pada Majlis Apresiasi Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Hospital Slim River. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 JULAI 2025.

“Semasa saya hendak menjalani pembedahan, doktor maklumkan bekalan darah AB negatif tidak mencukupi dan pembedahan terpaksa ditunda.

“Pada saat itu saya baru tahu jenis darah saya adalah jarang ditemui,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Hospital Slim River, di sini, pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan menyantuni penerima anugerah penderma darah pada Majlis Apresiasi Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Hospital Slim River. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 JULAI 2025.

Shanmugam yang bekerja sebagai pemandu di sebuah kilang di Ipoh berkata, sejak peristiwa tersebut dia menjadi penderma darah tetap di Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Setakat ini saya sudah menderma darah sebanyak 54 kali, dengan purata tiga hingga empat kali setahun.

“Saya ingin berpesan kepada masyarakat, terutama golongan muda, jangan percaya mitos bahawa menderma darah menyebabkan sakit tulang atau kegemukan.

“Darah yang anda dermakan hari ini mungkin suatu hari akan menyelamatkan nyawa anda sendiri,” ujarnya.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan menyampaikan anugerah Youthphoria kepada Beh Zeng Kang pada Majlis Apresiasi Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Hospital Slim River. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 JULAI 2025.

Sementara itu, Ben Zen Kang, 29, berkata, sikap suka menderma darah sudah tertanam dalam dirinya sejak zaman sekolah menengah apabila pada awalnya sekadar mengumpul sijil penghargaan.

“Lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan. Saya tetap menderma darah ketika belajar di universiti dan kini semasa bekerja.

“Sebagai generasi muda, kita harus tanamkan kesedaran bahawa menderma darah adalah amalan mulia, baik dari sudut kemanusiaan mahupun keagamaan,” katanya.

Anak kelahiran Teluk Intan itu yang telah menderma darah sebanyak 51 kali berkata, dia sering dihubungi Hospital Teluk Intan untuk membantu menambah bekalan darah terutama ketika situasi kecemasan.

Pada majlis itu, Shanmugam dan Zen Kang merupakan antara 38 individu di seluruh Perak yang menerima penghargaan atas sumbangan aktif mereka sebagai penderma darah.

Mereka masing-masing menerima sijil dan plak bagi kategori Darah Utuh dan Youthphoria Negeri Perak. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bekalan darah di Perak stabil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI