Warga emas maut: MBI jalan operasi tangkap anjing liar

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerusi Unit Kawalan Anjing dalam Distres bertindak menjalankan operasi menangkap anjing liar berikutan kemalangan yang meragut nyawa wanita warga emas di Jalan Pusat Perniagaan Silibin 1, di sini, kelmarin.

Rohani Nek, 69, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas motosikal ditunggangnya terbabas dipercayai ketika cuba mengelak anjing liar melintas dalam kejadian tersebut.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, setakat ini dua ekor anjing liar berjaya ditangkap menerusi operasi sejak semalam.

Menurutnya, anjing yang ditangkap itu akan disimpan sementara menunggu jika ada pihak datang membuat tuntutan sebelum diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

“Kita lihat isu melibatkan anjing liar ini sentiasa ada pro and cons. Ada pihak yang mendesak supaya kita ambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan ada satu pihak lain yang minta kita tangguh dulu bagi melindungi haiwan tersebut atas pelbagai alasan.

“Jadi itu yang menyebabkan kadang-kadang tindakan tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya kerana kita terpaksa memenuhi kehendak dua-dua pihak itu. Bagaimanapun, kita akan lihat jika ada keperluan untuk ambil tindakan kita akan berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Jasamu Dikenang 2023 bagi meraikan 127 pesara MBI di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini, pada Rabu.

Rumaizi berkata, kawasan perindustrian itu memang menjadi lokasi tumpuan anjing berkeliaran kerana ia dijadikan tempat untuk membuang haiwan peliharaan.

“Memang kita tidak menafikan anjing memang banyak di kawasan itu, cuma kita dalam usaha untuk membuat tangkapan untuk kurangkan bilangannya.

“Apabila anjing terlampau banyak, ia akan membahayakan lalu lintas seperti yang berlaku macam kes ini (wanita warga emas maut), “ jelasnya.

Ujar beliau, MBI akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa serta meminta kerjasama warga bandar raya Ipoh untuk menyalurkan maklumat berhubung masalah berkenaan.– MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nenek maut motorsikal terbabas ketika cuba elak anjing lintas jalan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI