TAIPING – Pesawah yang terjejas akibat cuaca ekstrem seperti kemarau disaran segera melengkapkan dokumentasi yang diperlukan bagi membolehkan bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) disalurkan dengan cepat.
Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, bantuan berkenaan akan diproses secara automatik sekiranya pesawah membuat laporan dan menyerahkan bukti kerosakan mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, selain kemarau, bantuan sama turut disalurkan kepada pesawah yang terjejas akibat kejadian ribut atau banjir.
“Apa yang penting, mereka yang terjejas perlu membuat laporan polis dan melaporkannya kepada Jabatan Pertanian atau Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) secepat mungkin.
“Laporan itu mesti disertakan gambar keadaan sawah ketika terjejas. Selepas diterima, saya akan mempengerusikan mesyuarat peringkat negeri untuk kelulusan bersama pasukan teknikal sebelum dibawa ke Putrajaya bagi proses seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Majlis Perasmian Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Larut Matang dan Selama di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Teh Kok Lim.
Menurut Norsiyenti, laporan berkenaan perlu dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh bencana berlaku bagi membolehkan tuntutan bantuan tunai TBTP diproses segera.
Pada masa sama, beliau memaklumkan Jabatan Pertanian Perak dan IADA Kerian telah diarahkan untuk turun padang bertemu pesawah bagi mendapatkan bukti tanaman terjejas sejak tiga minggu lalu.
“Untuk makluman, pesawah yang tanaman padinya berusia 70 hari ke bawah layak menerima bantuan RM860 bagi setiap hektar.
“Manakala, jika tanaman itu daripada lebih 70 hari, bantuan berjumlah RM1,800 akan disalurkan terus kepada pesawah terjejas ,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Projek pemindahan air Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah akan dibawa ke Kabinet