Kemasukan pelancong asing ke Perak meningkat 11.9 peratus

IPOH – Perak merekodkan peningkatan kemasukan pelancongan antarabangsa ke negeri ini memberangsangkan pada 11.9 peratus bagi tahun 2024 berbanding sebelumnya.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee berkata, berdasarkan Survei Hotel Guest 2024, seramai 970,611 pelancong asing telah melawat ke Perak pada tahun 2024, berbanding 867,665 orang bagi tahun 2023.

Katanya, peningkatan seramai 102,946 pelancong itu menunjukkan keberkesanan strategi promosi pelancongan yang telah dilaksanakan di Perak.

Menurut Sze Yee, perkembangan itu juga memberikan pulangan ekonomi apabila perbelanjaan yang dikeluarkan pelancong antarabangsa memberikan impak signifikan kepada kitaran ekonomi negeri.

“Sebagai contoh, secara purata seorang pelancong antarabangsa membelanjakan sekitar RM190 sehari, termasuk penginapan, pengangkutan, makan minum dan aktiviti pelancongan asas.

“Berdasarkan kehadiran 970,611 pelancong antarabangsa sepanjang tahun 2024, jumlah perbelanjaan kasar dianggarkan mencecah RM184.4 juta.

“Jumlah ini dijangka meningkat apabila data perbelanjaan pelancong domestik turut diambil kira,” katanya.

Pelancong asing ke Perak 2024 Peningkatan pelancong Perak Tahun Melawat Perak 2024 Tourism Perak Pelancongan antarabangsa Impak ekonomi pelancongan Domestic Tourism Survey Loh Sze Yee Infrastruktur pelancongan Perak Laman Tanjung Belanja Laman Anjung Pelita
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 APRIL 2025.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahya (PN-Rungkup) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut Sze Yee (PH-Jalong) memberitahu, data berkenaan pelancong domestik akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia melalui ‘Domestic Tourism Survey’ yang dijangka diumumkan pada pertengahan tahun ini.

Kata beliau, kejayaan Tahun Melawat Perak 2024 lalu menjadi bukti bahawa sektor pelancongan mampu menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Tourism Perak telah melaksanakan sebanyak 122 acara dan aktiviti pelancongan secara rasmi sepanjang Tahun Melawat Perak 2024.

“Program-program ini meliputi pelbagai segmen seperti seni dan budaya, sukan pelancongan, eko pelancongan, gastronomi, warisan serta aktiviti berbentuk komuniti.

“Inisiatif ini telah berjaya menarik kehadiran seramai 1.1 juta pengunjung, sekali gus membuktikan keupayaan Perak untuk menjadi destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara,” ujarnya lagi.

Tambah Sze Yee, pada tahun ini, pelbagai produk pelancongan baharu telah menerima suntikan kewangan daripada kerajaan negeri mahupun Persekutuan bagi membangunkan infrastruktur pelancongan yang lebih baik.

Jelas beliau, ia termasuk kepada menaik taraf kemudahan dan infrastruktur pelancongan di kawasan Laman Tanjung Belanja, Parit; menaik taraf kawasan tumpuan pelancong di Laman Anjung Pelita, Kampong Gajah, dan sebagainya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tahun Melawat Perak 2024 lepasi sasaran, tarik 8.4 juta pelancong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI