Kemelut 20 tahun terungkai, 97 petani terima ‘ex gratia’

IPOH – Kemelut selama 20 tahun di atas tanah seluas lebih 330 hektar di Kanthan, Chemor dekat sini terungkai apabila 97 petani setinggan menerima bayaran ‘ex gratia’ masing-masing, pada Rabu.

Seramai 20 petani menerima bayaran melalui cek sementara baki 77 akan menerima pembayaran ihsan itu secara atas talian bermula 2 Disember.

Bagaimanapun jumlah sebenar pembayaran ex gratia yang dilaksanakan syarikat swasta Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) itu tidak didedahkan kepada pemberita.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Advancecon Holdings Berhad, Tan Chee Keong (tiga, kiri) menyerahkan cek kepada setinggan pertanian pada Majlis Pengesahan dan Penyerahan Ex-Gratia bagi pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Rabu. Turut sama Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee (dua, kanan) dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching (dua, kiri). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 NOVEMBER 2024.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu bukan suatu perkara yang termaktub dalam undang-undang kerana aktiviti pertanian di atas tanah kerajaan itu dilakukan tanpa kebenaran.

Kata beliau sebaliknya, pemberian ex gratia itu merupakan sebagai tanggungjawab sosial korporat Advancecon bersama Perak Corporation Berhad untuk memastikan kelancaran pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) di kawasan berkenaan.

Kemelut 20 tahun terungkai 97 petani terima ex gratia tanah kerajaan Kanthan negeri perak Sze Yee SVTP
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee ketika sidang media pada Majlis Pengesahan dan Penyerahan Ex-Gratia bagi pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 NOVEMBER 2024.

“Kerajaan negeri telah meminta mereka yang terlibat untuk bekerjasama untuk berbincang supaya semua pihak dapat menemui satu jalan formula di mana dapat diwujudkan situasi menang-menang, dan formulanya adalah bayaran ex gratia.

“Oleh itu, selepas ini pihak pemaju boleh melakukan kerja-kerja pembangunan SVTP mengikut jadual dengan jaminan tiada sebarang gangguan atau halangan yang akan dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengesahan dan Penyerahan Ex-Gratia kepada 20 petani setinggan bagi pembangunan SVTP di Hotel Casuarina @ Meru, dekat sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching serta Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Kemelut 20 tahun terungkai 97 petani terima ex gratia tanah kerajaan Kanthan negeri perak Sze Yee SVTP
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee (kanan) beramah mesra bersama setinggan pertanian pada Majlis Pengesahan dan Penyerahan Ex-Gratia bagi pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 NOVEMBER 2024.

Dalam pada itu jelas beliau, langkah yang diambil menerusi penyerahan ex gratia itu bukanlah satu ketetapan yang perlu dilaksanakan dalam menangani aktiviti pertanian haram di tanah kerajaan.

“Tanah kerajaan atau tanah persendirian yang diduduki tanpa kebenaran di lokasi lain, perlu ada perbincangan antara kedua-dua pihak. Dan sudah pasti, situasi di Kanthan berbeza dengan situasi di lokasi lain,” jelasnya.

Pada masa sama Sze Yee memberitahu, pembangunan SVTP amat diperlukan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri di samping menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Kemelut 20 tahun terungkai 97 petani terima ex gratia tanah kerajaan Kanthan negeri perak Sze Yee SVTP
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee (dua, kanan) ketika sidang media pada Majlis Pengesahan dan Penyerahan Ex-Gratia bagi pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 NOVEMBER 2024.

Kata beliau, permasalahan yang berlaku di Kanthan telah merencatkan usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan kawasan industri yang holistik.

“Situasi itu menyebabkan Negeri Perak tertinggal, dan apabila tiada kawasan industri secara holistik dibangunkan, maka tiada syarikat yang betul-betul berkemampuan atau berkebolehan akan masuk ke Perak.

“Apabila perkembangan industri tidak berlaku, ekonomi tidak berlaku. Dan itu yang menyebabkan Negeri Perak ketinggalan secara ekonomi serta mengakibatkan migrasi minda ke luar juga berlaku,” katanya.

Sebelum ini media pernah melaporkan, sekumpulan petani dari lokasi terbabit mengadakan protes di luar bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 12 September tahun lalu meminta campur tangan kerajaan Persekutuan dalam rancangan Kerajaan Perak menukar tanah kebun yang mereka duduki menjadi kawasan perindustrian.

Kerajaan Perak dilaporkan sudah menawarkan tapak alternatif kepada petani itu di Changkat Kinding, Chemor di sini yang diwartakan sebagai zon pertanian.

Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM700,000 bagi penyediaan infrastruktur serta kerja-kerja pembinaan teres bagi tujuan perladangan serta kemudahan saluran bekalan air di tapak alternatif berkenaan, namun tawaran itu ditolak oleh kumpulan berkenaan.- MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

SVTP bakal bawa masuk pelaburan RM14 bilion ke Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI