Kementerian Komunikasi bukan punca Indeks kebebasan media jatuh – Fahmi

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan kedudukan Malaysia jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 bukan disebabkan kementeriannya semata- mata.

Prestasi itu turut disumbangkan oleh beberapa akta yang berada di bawah kementerian yang berbeza dan pendirian Malaysia terhadap beberapa isu semasa.

“Sebagai contoh isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kita tahu pendirian Malaysia mengenai isu tersebut dan kesesuaiannya beberapa perkara dalam acuan sama ada ASEAN mahupun ketimuran (adat timur).

“Jadi saya rasa kita ambil maklum dan saya mengalu-alukan kesediaan pihak Reporters Without Borders (RSF) yang mereka telah memuat naik di platform X,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 di ibu negara, hari ini.

Terdahulu, RSF melaporkan Malaysia jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lalu.

Ia menunjukkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, beliau menerima baik laporan berkenaan namun ia bukanlah kayu ukur sejati untuk menentukan tahap kebebasan media di negara ini.

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan beliau adalah Menteri Komunikasi pertama yang akan bersemuka dengan RSF bagi mendengar dan meneliti cadangan yang akan dikemukan pihak terbabit.

“Saya harap nanti RSF boleh maklumkan pada kementerian apa langkah- langkah yang mereka cadangkan dan kita tidak semestinya menerima bulat- bulat cadangan itu. Mungkin untuk kita mengkaji dengan mendalam serta lihat kesesuaiannya untuk Malaysia.

“Sebagai contoh, ada seorang ahli Parlimen menyatakan kedudukan Malaysia lebih buruk daripada Israel, Malaysia pada kedudukan 107 dan Israel di 101 lebih kurang tapi berbeza dengan Israel, kita tidak bunuh orang seperti berlaku di Gaza.

“Kita juga tidak menutup mana-mana media seperti tindakan Israel telah menutup serta menggeledah pejabat Al Jazeera seperti yang berlaku semalam. Jadi saya rasa kedudukan ini bukan kayu ukur yang sejati atau golden standard,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI