Kempen Tabung Pahlawan 2025-2026 sasar kutipan RM3 juta

KUALA LUMPUR – Kempen Tabung Pahlawan 2025-2026 yang dilancarkan hari ini menyasarkan kutipan melebihi RM3 juta dalam usaha membantu kebajikan para perajurit negara yang memerlukan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini sebanyak RM1.095 juta telah berjaya dikumpul bersamaan 35 peratus daripada sasaran keseluruhan.

“Saya amat yakin dengan kerjasama erat antara masyarakat awam, pihak kerajaan, warga korporat, NGO dan individu-individu yang prihatin, insya-Allah kita akan mencapai sasaran ini dengan jayanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan Tahun 2025/2026 di Wisma Perwira Kem Sungai Besi, di sini hari ini.

Hadir sama, Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafiezuddin Jantan dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled menaruh keyakinan, kutipan melebihi RM3 juta mampu direalisasikan sebelum akhir tahun ini dengan sokongan padu semua pihak.

“Marilah kita jadikan kempen Tabung Pahlawan ini bukan sekadar satu acara tahunan, tapi sebagai satu gerakan yang menyemai sifat keprihatinan rakyat terhadap kebajikan perwira negara kita,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepada semua penyumbang termasuk syarikat korporat dan individu persendirian.

“Setiap sumbangan, sama ada kecil atau besar, sangatlah bernilai kepada wira-wira kita. Sesuai dengan slogan, Satu Rakyat, Satu Ringgit Demi Pahlawan Kita,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah yang berpanjangan manfaatnya.

Kempen Tabung Pahlawan merupakan inisiatif tahunan bagi mengumpul dana membantu veteran tentera dan keluarga mereka yang memerlukan bantuan kewangan, perubatan serta sokongan kebajikan lain.

Sementara itu, Wan Azizah ketika berucap pada majlis sama berkata, kempen tersebut telah menyerlahkan peranan semua lapisan masyarakat dalam menjayakan agenda kesejahteraan dan kebajikan keluarga veteran ATM sebagai tanda kematangan masyarakat yang tidak pernah melupakan jasa wira-wira negara.

“Hari ini, saya berbangga menyaksikan semangat kebersamaan, patriotisme dan bakti yang dizahirkan dengan begitu jelas oleh ramai pihak, khususnya barisan penyumbang daripada sektor korporat.

“Inilah roh Malaysia Madani yang berasaskan nilai ihsan, menekankan kesejahteraan insan dan memelihara keharmonian. Inilah nilai yang kita bawa dan akan kita wariskan kepada generasi mendatang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI