IPOH – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang giat mempromosikan Malaysia ke luar negara sebagai persediaan bagi menggalakkan kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Ketua Setiausaha MOTAC berkata, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, promosi tersebut turut diadakan di dalam negara untuk menambah pelancong domestik meneroka lokasi menarik di Malaysia.
“Setakat ni kita sedang giat melaksanakan kempen TMM 2026 di luar dan dalam negara kita turut mengadakan kempen-kempen berkaitan.
“Segala persiapan kita berjalan dengan lancar dan yang terdekat kita akan buat program di Melaka pada hujung bulan ini.
“Baru-baru ini kita baru sahaja selesai melaksanakan Festival Budaya Malaysia 2025 yang merupakan sebahagian daripada kempen tahun TMM 2026 serta mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada seluruh rakyat Malaysia termasuk pelancong luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Ipoh Suka Langka yang diadakan di perkarangan Medan Selera Dataran Dato Sagor di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad.
Dalam pada itu, Shaharuddin memaklumkan setakat ini pihak kementerian telah menjalankan kempen tersebut di lebih 15 negara.
“Selain menteri, terdapat pegawai-pegawai yang pergi melaksanakan kempen berkenaan yang kita namakan misi jualan ke luar negara dan juga promosi pelancongan kita di luar negara.
“Misi jualan itu dilaksanakan ke beberapa negara seperti di Switzerland, Poland, Thailand, Beijing, Oman, China dan Australia bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan pilihan, terutamanya menjelang TMM 2026,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Balai Seni Negara Ipoh bakal jadi tarikan baharu pelancongan seni