KUALA LUMPUR – Kenaikan harga diesel yang berterusan disifatkan memberi tekanan besar kepada sektor pelancongan negara, khususnya pengusaha bas persiaran yang didakwa masih tidak menerima bantuan subsidi seperti sektor lain.
Pengerusi Biro Pelancongan MCA, Lawrence Chiew Kai Heng berkata, harga diesel yang meningkat daripada RM3.12 seliter kepada RM5.52 dalam tempoh singkat menjejaskan kos operasi industri, ketika negara giat mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, pengusaha bas persiaran kini berdepan risiko gulung tikar susulan peningkatan kos yang mendadak.
“Dilaporkan kira-kira 100 syarikat bas persiaran di Zon Utara berdepan risiko gulung tikar akibat kenaikan harga diesel dan kos operasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, situasi itu telah disuarakan beberapa persatuan industri termasuk Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Bumiputera Malaysia dan Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia).
Katanya, sektor pelancongan lazimnya menjadi antara yang paling awal terkesan apabila berlaku gangguan ekonomi atau ketidaktentuan global, termasuk konflik di Asia Barat ketika ini.
“Semasa pandemik Covid-19, sektor ini antara yang paling teruk terjejas. Keadaan sama boleh berulang jika isu kos tidak ditangani,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan semula permintaan untuk memasukkan pengusaha bas dan van persiaran ke dalam Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0).
Menurutnya, walaupun sebelum ini dilaporkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan (MOTAC) akan membincangkan perkara tersebut, namun sehingga kini tiada perkembangan jelas.
“Keadaan ini bercanggah dengan usaha kerajaan sendiri untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan kemasukan sehingga 47 juta pelancong,” ujarnya.
Lawrence berkata, kegagalan membantu sektor berkenaan boleh menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mampu milik, sekali gus memberi kesan kepada daya saing negara.
Beliau menegaskan, industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara dengan sumbangan 10.5 peratus kepada KDNK pada 2024 serta menyokong lebih 2.4 juta pekerjaan.
“Kerajaan perlu mengambil langkah segera termasuk menyediakan subsidi diesel bagi memastikan kos pakej pelancongan kekal kompetitif,” katanya.
Tambahnya, langkah itu penting terutama menjelang musim cuti panjang di beberapa negara jiran yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelancong ke Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat memberikan garis masa jelas berhubung pelaksanaan bantuan tersebut bagi membolehkan pemain industri membuat perancangan jangka panjang. – MalaysiaGazette


