PARIT BUNTAR – Jangkaan kenaikan harga telur sehingga tiga sen sebiji selepas penghapusan subsidi bermula 1 Ogos depan hanya sekadar ramalan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, perkara seperti itu pernah berlaku semasa kerajaan mengapungkan harga ayam di mana ramai pihak membuat andaian kenaikan harga namun sebaliknya berlaku.
Mohamad berkata, pihaknya akan mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memantau perkembangan situasi itu dari semasa ke semasa.
“Itu ramalan. Kita lihatlah perkembangannya. Dulu bila harga ayam diapungkan, ramai jangka harga akan naik, tetapi sebaliknya berlaku. Kita harap kali ini pun sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri Perak, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis perasmian berkenaan diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Malaysia Gazette pada Selasa melaporkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan harga telur ayam meningkat sekiranya kos pengeluaran ketika ini masih kekal 38 sen sebiji.
Timbalan Presidennya, Lee Yoon Yeau berkata, lebih 100 pengusaha ladang ternakan di seluruh negara yang mengeluarkan antara 33 hingga 35 juta telur sehari terpaksa berbuat demikian setelah kehilangan kadar subsidi lima sen sebiji yang dinikmati bermula 1 Mei hingga 31 Julai ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata keputusan mengenai penamatan subsidi dibuat selepas beberapa sesi libat urus bersama jabatan dan agensi berkaitan di peringkat kementerian.
“Libat urus telah dilakukan berkali-kali oleh Ketua Setiausaha dan pasukan beliau. Keputusan yang dibuat adalah selepas mengambil kira pelbagai faktor. Sekarang ini pun harga bahan makanan ternakan seperti soya dan jagung menunjukkan penurunan sedikit,” jelasnya.
Beliau yakin, tiada berlaku pembelian panik oleh pengguna memandangkan pasaran kini stabil dan pelbagai alternatif bekalan disediakan kerajaan.
“Pembelian panik Insya-Allah tidak berlaku. Sekarang ini kita ada banyak saluran jualan seperti Jualan Rahmah dan Agro Madani. Kalau berlaku sekalipun, kita mampu tampung,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Harga telur dijangka naik 3 sen sebiji mulai Ogos jika kos pengeluaran kekal – FLFAM