KUALA LUMPUR – Kenderaan roda tiga yang diubah suai tanpa perolehan Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dilarang berada di jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan itu termasuk untuk tujuan pertanian atau pelancongan yang membuatkan pengguna tidak layak dilindungi insurans dan tidak dibenarkan membayar cukai jalan.
Katanya, penggunaan kenderaan roda tiga yang tidak memenuhi syarat teknikal atau kelulusan sah dianggap tidak sah di sisi undang-undang, sekaligus menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya dan menimbulkan isu perlindungan insurans yang kritikal.
“Jika terdapat keperluan atau kepentingan untuk menggunakan kenderaan ini bagi tujuan spesifik seperti pertanian atau pelancongan, ia mestilah mendapat kelulusan terlebih dahulu.
“Jadi saya berharap pihak tersebut boleh menghubungi MOT (Kementerian Pengangkutan) khususnya JPJ untuk membincang bagaimana ia boleh diguna serta mendapat kelulusan penggunaannya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Loke berkata demikian menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai kesediaan MoT menyelaras penggunaan kenderaan roda tiga dengan kementerian lain.
Sementara itu, Loke berkata, motosikal roda tiga Kategori L4 adalah antara contoh motosikal roda tiga barangan didaftarkan dan dilesenkan untuk kegunaan di negara ini.
Katanya, motosikal jenis itu dibenar digunakan di jalan raya dan hanya boleh didaftarkan sebagai kenderaan barangan, selain tertakluk kepada pemeriksaan berkala setiap enam bulan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan dan kelayakan teknikal kenderaan.
“Peraturan semasa menetapkan kenderaan roda tiga perlu didaftarkan, dilesenkan dan dipastikan selamat digunakan di jalan raya, jika digunakan untuk membawa barangan,” katanya. – MalaysiaGazette