IPOH – Kenyataan bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan Pemuda UMNO hari ini hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu merupakan pandangan peribadi beliau sahaja.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid berkata, pandangan diutarakan Mohamed Nazri yang merupakan Ketua UMNO Bahagian itu bukanlah mewakili keseluruhan UMNO di kawasan berkenaan.
Menurut Mohd Ariff, perbezaan pandangan di dalam sesebuah organisasi itu merupakan perkara biasa namun ia perlu dielakkan daripada menjadi perbalahan yang boleh merosakkan keharmonian sesama kita.
“Ahli parti dan rakyat sentiasa memerhatikan setiap tindakan kita, jadi kita perlu berhati-hati agar tidak menimbulkan rasa tidak puas hati dan meluat dengan tindak-tanduk kita pada kalangan mereka semua.
“Isu-isu seperti ini sebaiknya diselesaikan secara dalaman agar tidak menjejaskan imej parti,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya, malam tadi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga berpandangan parti berkenaan tidak ketandusan pemimpin sebaliknya masih ramai yang berkaliber diperingkat tertinggi yang boleh diketengahkan untuk memimpin parti pada masa hadapan.
“Presiden UMNO kita juga merupakan seorang pemimpin yang berkaliber, kerana beliau berjaya mengelakkan parti daripada diharamkan satu ketika dahulu.
“Keputusan bijak beliau telah membawa UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan, dan ini menunjukkan keupayaan kepimpinan yang tinggi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar kenyataan Mohamed Nazri yang mendakwa Pemuda UMNO sekarang hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu susulan isu garis panduan agama Islam yang lantang disuarakannya. -MG Perak