Kepala air, banjir Slim River: 70 murid terjejas

IPOH – Seramai 70 murid dari empat sekolah terjejas dalam kejadian banjir dan dan kepala air sehingga mengakibatkan Jambatan Lama Sungai Slim di Slim Village, Tanjung Malim runtuh minggu lalu.

Mereka terdiri daripada 40 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Slim Village; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Slim Village (sembilan); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ho Pin (enam) serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Zulkifli Muhammad (15 pelajar).

Kepala air, banjir Slim River 70 murid terjejas sekolah pelajar Khairudin
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah ketika sesi sidang media Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OGOS 2024.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, susulan itu Jabatan Pendidikan Negeri telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkaitan bagi memastikan proses pembelajaran mereka dapat diteruskan seperti biasa.

Katanya, ia termasuk kepada pelaksanaan latihan serta modul pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian kepada murid yang terjejas.

“Ada juga inisiatif daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim iaitu murid di SK Slim Village itu akan bersekolah sementara di SJKT Slim Village dan juga SJKC Ho Pin bagi membolehkan mereka belajar secara bersemuka (sehingga jambatan bailey siap).

“Kita tidak mahu melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana bimbang mereka ini berhadapan dengan masalah liputan rangkaian internet dan sebagainya,” katanya.

Kepala air, banjir Slim River 70 murid terjejas sekolah pelajar Khairudin
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah ketika sesi sidang media Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Khamis. Turut hadir Pengarah Program KAMU 2024, Hamidi Baharuddin dan Pengurus Besar People of Remarkable Talents (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 OGOS 2024.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024 anjuran Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Kejadian banjir dan kepala air yang melanda beberapa kawasan di Ulu Slim menjejaskan lebih lebih 100 mangsa dengan 175 ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) minggu lalu.

Kepala air, banjir Slim River 70 murid terjejas sekolah pelajar Khairudin
Keadaan sekitar Jambatan Slim Village di Slim River yang runtuh akibat kepala air susulan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan penduduk setempat terperangkap. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 OGOS 2024.

Hujan lebat berterusan telah mengakibatkan muka sauk loji rawatan air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah sehingga membawa kepada kejadian kepala air dan meruntuhkan jambatan yang merentasi Sungai Slim.

Mengulas lanjut, Khairudin memberitahu pihaknya telah mengarahkan penolong kanan hal ehwal murid di empat sekolah berkenaan untuk memastikan semua murid dan pelajar terbabit dapat hadir ke sekolah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meninjau mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir Sungai Muda, Slim River. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 OGOS 2024.

“Walaupun dalam keadaan sumber kekurangan dan sebagainya, tetapi kita tidak mahu mengabaikan mereka untuk mendapat pendidikan,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, pelajar dan murid berkenaan juga diberi kelonggaran untuk memakai pakaian sukan ke sekolah sebagaimana yang telah diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.

Keadaan semasa Kampung Pasir Sungai Muda, Slim River, akibat kepala air dan empangan pecah susulan hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan penduduk setempat terperangkap. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 OGOS 2024.

Namun jelas Khairudin, PPD Muallim akan mengambil langkah perlu bagi memastikan isu mana-mana kelengkapan mereka yang terjejas akibat bencana itu dapat diselesaikan.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka kelengkapan untuk ke sekolah terjejas, dan untuk itu saya yakin PPD Muallim telah ambil tindakan sewajarnya.

“Apa-apa pun kita mahu isu pakaian ini dapat diselesaikan. Mereka juga diberi kebebasan untuk pakai pakaian sukan kerana yang penting adalah untuk mereka hadir ke sekolah,” katanya lagi. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI