Kepala air Slim River: Jambatan bailey akan dibina – Saarani

TANJUNG MALIM – Sebuah jambatan bailey akan dibina sebagai jambatan alternatif sementara kepada Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Hulu, dekat sini yang runtuh akibat kejadian kepala air pada Jumaat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jambatan yang menjadi saksi kepada pertempuran tentera British dan Jepun sewaktu ketika dahulu itu merupakan laluan utama kepada penduduk setempat.

Katanya, justeru jalan raya ke jambatan sepanjang 77 meter (m) itu ditutup sementara bagi langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan orang awam terjamin.

“Pembinaan jambatan bailey ini dijangka memerlukan masa lima ke tujuh hari untuk disiapkan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan melaksanakan pengurusan traffik seperti sistem papan tanda, penghadang jalan dan sebagainya untuk amaran awal bahawa kawasan ini ditutup sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau situasi semasa Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River – Behrang Hulu, dekat sini yang runtuh, pada Sabtu.

Jelas beliau lagi, jambatan itu juga menjadi laluan utama kepada murid untuk menyeberangi Sungai Slim ke beberapa buah sekolah.

Justeru ujar beliau, penduduk di Slim Village terpaksa menggunakan laluan alternatif lain untuk ke seberang sementara menunggu jambatan bailey siap dibina.

Ditanya berkenaan dua lagi jambatan yang terjejas iaitu, Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampung Sungai Muda, Saarani memberitahu jambatan bailey tidak dibina di dua lokasi terbabit.

“PLB (Bahagian Pembangunan Luar Bandar) akan tengok kerana sebelah sana jalan kampung. Berbeza dengan yang ini Ini (Jambatan Lama Sungai Slim) kerana ia adalah jalan utama orang ramai,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

109 terperangkap, tiga jambatan runtuh akibat empangan pecah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI